Jangan tunggu tular baharu hendak bertindak

Utusan Borneo (Sabah) - - Iklaneka -

SIBU: Ketua masyarakat dan ketua kaum perlu memainkan peranan yang lebih proaktif dalam membantu golongan memerlukan di kawasan masing-masing.

Pegawai Daerah Sibu Awang Yusup Awang Mostapha berkata, ketua masyarakat dan ketua kaum harus bertindak terlebih dahulu dalam membantu golongan itu dalam mendapatkan bantuan yang sewajarnya.

“Jangan kita menunggu sehingga sudah tersebar di media sosial baharu hendak bertindak atau menghulurkan bantuan,” ujarnya ketika menyampaikan amanat pada Mesyuarat Jawatankuasa Mahkamah Bumiputera Iban Pejabat Daerah Sibu, baru-baru ini.

Menurut Awang Yusup, mereka harus membantu golongan memerlukan bantuan seperti bantuan kebajikan dengan mengemukakan permohonan kepada Pejabat Daerah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Selain itu, beliau menasihati ketua masyarakat dan ketua kaum supaya berhati-hati apabila menandatangani dokumen atau menjadi saksi, lebih-lebih lagi dalam hal-hal probate.

Awang Yusup juga berharap ketua kaum sentiasa mementingkan integriti dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab kepada masyarakat.

Katanya, ini terutama dalam menguruskan perbelanjaan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), di mana perlu ada saksi atau dokumen sokongan bagi setiap perbelanjaan wang JKKK yang dibuat.

“Laporan kewangan juga perlu ada bagi setiap mesyuarat,” ujarnya sambil mengingatkan ketua kaum menyerahkan laporan mesyuarat JKKK yang sepatutnya diadakan sekali setiap tiga bulan.

Menyentuh mengenai perbicaraan kes di Mahkamah Bumiputera, beliau menasihati Pegawai Prosiding dan Pegawai Penilai (Assessor) berpandukan undang-undang dalam Adat Iban 1993.

Sementara menurut Pengerusi Jawatankuasa Mahkamah Bumiputera Iban Pejabat Daerah Sibu, Pemanca James Semilan, mesyuarat antara lain membincangkan masalah-masalah yang dihadapi oleh ketua masyarakat dan ketua kaum.

Selain itu, katanya, mesyuarat juga bagi memperkaya dan memperkukuhkan pengetahuan semua ahli jawatankuasa untuk memahami peraturan mahkamah berkaitan dengan

Adat Iban.

“Mesyuarat juga untuk meningkatkan mutu dan kualiti semua ahli ke arah kerja yang lebih profesional, selain menguatkan hubungan dan kerjasama semua ahli,” jelas James.

Jawatankuasa

Mahkamah

Bumiputera Iban

Pejabat Daerah

Sibu mempunyai 24 ahli terdiri daripada ketua masyarakat dan ketua kaum.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.