Pelaburan KWSP di AS dijangka tingkat pendapatan: Pakar

Perbelanjaan infrastruktur antara agenda pertumbuhan penting bagi AS

Utusan Borneo (Sabah) - - Bisnes -

KUALA LUMPUR: Langkah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) meningkatkan pelaburannya di Amerika Syarikat (AS) antara AS$3 bilion (AS$1 = RM4.18) dan AS$4 bilion bagi projek-projek infrastruktur akan menambah pendapatan kumpulan wang berkenaan secara beransur-ansur, yang dapat menghasilkan dividen yang lebih baik.

Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata perbelanjaan infrastruktur merupakan antara agenda pertumbuhan penting bagi AS, memandangkan keadaan infrastrukturnya yang agak lama dan sangat memerlukan pelaburan semula.

“Kami percaya ini adalah langkah positif bagi KWSP kerana ia merupakan sebahagian daripada strategi pelaburan mereka untuk mempelbagaikan portfolio mereka secara geografi.

“Dan kami juga percaya keputusan sedemikian akan berdasarkan peruntukan aset strategik mereka (SAA), dan akan ada sasaran khusus untuk setiap kelas aset yang juga bergantung kepada toleransi risiko,” katanya kepada Bernama dalam temu bual melalui e-mel.

Beliau berkata ini merupakan risiko yang dikira, memandangkan pelabur institusi yang besar, seperti KWSP, akan menggunakan SAA apabila membuat keputusan mengenai pelaburan mereka.

Dana pencen itu telah mengisytiharkan kadar dividen sebanyak 5.70 peratus bagi 2016, dengan jumlah pembayaran berjumlah RM37.08 bilion, berbanding 6.4 peratus pada 2015.

Mohd Afzanizam mengulas mengenai pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai rancangan KWSP dan Khazanah Nasional Bhd untuk meningkatkan pelaburan mereka di AS.

Najib turut mengumumkan keputusan Malaysia Airlines Bhd untuk membeli 16 pesawat Boeing dalam masa terdekat.

Sehingga kini, KWSP telah melabur hampir AS$ 7 bilion dari segi ekuiti di Amerika Syarikat, manakala Khazanah Nasional, yang mempunyai pejabat di Silicon Valley, California, telah melabur kira-kira AS$400 juta dalam syarikat teknologi tinggi.

Pelaburan luar negara menyumbang kira-kira 29 peratus daripada jumlah aset pelaburan KWSP yang sebanyak RM731.11 bilion.

Pada Februari tahun ini, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan, berkata dana pencen itu secara aktif mencari lebih banyak peluang pelaburan di luar negara, memandangkan pendapatan dari aset asing adalah signifikan terhadap pencapaiannya.

Beliau juga menegaskan keperluan untuk mencari peluang yang lebih menarik di seluruh dunia untuk mengimbangi kesan pulangan yang lebih rendah dari pasaran ekuiti tempatan.

Sementara itu, pengumuman mengenai pelaburan tambahan oleh Malaysia tepat pada masanya apabila ekonomi AS berkembang pada kadar yang baik, dengan keluaran dalam negara kasar suku keduanya meningkat sebanyak 3.0 peratus daripada 1.4 peratus sebelum ini dan harga ekuiti mencatatkan paras tinggi sepanjang tahun.

Sentimen perniagaan dan pengguna dalam ekonomi terbesar dunia itu juga bertambah baik, dengan indeks pengilangan AS meningkat kepada 58.8 manakala Indeks Keyakinan Pengguna menambah kepada 122.9 pada Ogos.

Rizab Persekutuan AS telah menaikkan Kadar Dana Rizab Persekutuan sebanyak 100 mata asas sejak Disember 2015.

“Ekonomi AS berada pada kedudukan yang teguh apabila rangsangan monetari telah dihapuskan secara beransuransur. Oleh itu, Malaysia melabur pada ketika ekonomi Amerika Syarikat semakin bertambah baik.

“Mungkin masa yang tepat, memandangkan sifat pelaburan mereka akan menjadi jangka panjang,” kata Mohd

“Perbelanjaan infrastruktur merupakan antara agenda pertumbuhan penting bagi AS, memandangkan keadaan infrastrukturnya yang agak lama dan sangat memerlukan pelaburan semula. ” DR MOHD AFZANIZAM ABDUL RASHID Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.