Syarikat Malaysia mampu melabur di luar negara: Ahmad Maslan

Utusan Borneo (Sabah) - - Bisnes -

KUALA LUMPUR: Ramai rakyat beranggapan syarikat Malaysia tidak mampu untuk melabur di luar negara atau menjadi pelabur global, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Maslan.

Sebaliknya, katanya, syarikat Malaysia sebenarnya giat melabur di luar negara dan angka pelaburan malahan lebih besar daripada aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI).

“Apabila kita terima FDI dari China, sesetengah orang dakwa kita dijajah, tetapi apabila kita melabur besarbesaran di luar negara tidak ada yang mengatakan yang kita mengeksploitasikan negara tertentu dari segi ekonomi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi pitching (menjual idea) ‘The High Impact Programme 5: Medical Devices (HIP5)’ anjuran SME Corporation Malaysia Bhd, di sini, kelmarin.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas gambaran negatif yang dilemparkan oleh pihak pembangkang terhadap lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Washington DC baru-baru ini.

Semasa mesyuarat delegasi dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, Perdana Menteri berkata Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Khazanah Nasional Bhd merancang meningkatkan pelaburan mereka di Amerika Syarikat (AS) manakala Malaysia Airlines (MAB) berhasrat membeli pesawat Boeing.

Ahmad berkata Petronas, Khazanah, Maybank, CIMB, Axiata dan UEM banyak melabur di luar negara.

Memetik data Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Jabatan Perangkaan, beliau berkata syarikat Malaysia telah melabur sebanyak RM601.6 bilion di luar negara, yang mengatasi angka aliran masuk FDI berjumlah RM500.2 bilion, pada suku ketiga 2015.

Pada akhir suku kedua tahun ini, beliau berkata pelaburan langsung syarikat Malaysia berjumlah RM573.5 bilion, yang mana masih tinggi berbanding aliran masuk FDI sebanyak RM556.7 bilion.

Ahmad berkata KWSP dan Khazanah melabur di Amerika sebagai langkah pempelbagaian dananya untuk mendapat keuntungan yang lebih tinggi serta memberi pulangan dividen yang lebih baik bagi pencarum dan pemegang kepentingan mereka.

“Syarikat-syarikat kita melabur untuk mendapat keuntungan. Manfaatnya, ia dikembalikan kepada rakyat melalui cukai yang dikutip daripada syarikat-syarikat berkenaan. Ini membantu menaikkan pendapatan kerajaan,” katanya.

Manakala cadangan pembelian pesawat Boeing bakal memberi faedah kepada Malaysia Airlines yang akan menjadikan ia sebuah syarikat penerbangan yang kompetitif, katanya, sambil menambah, “Bila MAB untung, rakyat untung dan negara dapat nama yang baik,”

Semasa sesi pitching itu, Ahmad berkata pasaran peranti perubatan Malaysia kini mencecah AS$1.4 billion, yang terbesar di rantau ASEAN.

Pasaran eksport untuk peranti perubatan Malaysia majoritinya adalah ke Amerika Syarikat, yang menyumbang 40 peratus daripada pasaran eksport, manakala selebihnya ke negara-negara ASEAN dan Asia Barat, katanya, sambil menambah ketika ini,19 syarikat terlibat dalam program HIP5, yang mana 10 adalah syarikat Tier 1 manakala selebihnya syarikat Tier 2.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.