M’sia raih jualan RM405.50 juta di CAEXPO 2017, atasi sasaran

Utusan Borneo (Sabah) - - Bisnes -

NANNING, China: Malaysia meraih jualan sebanyak RM405.50 juta dalam Ekspo China-ASEAN Ke-12 (CAEXPO) 2017, mengatasi sasaran RM329.60 juta, kata Pengarah Unit Perbadanan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) di China, Ong Yew Chee.

Beliau berkata sebahagian besar jualan kebanyakannya adalah daripada sektor makanan dan minuman (RM268.83 juta), diikuti kesihatan dan kecergasan (RM119.22 juta) dan gaya hidup (RM17.45 juta).

“Malaysia mencatatkan prestasi kukuh dalam sektor makanan dan minuman dan produk berasaskan durian mendapat sambutan hangat dalam kalangan pengguna China. Justeru itu, kita memanfaatkan populariti ‘Raja Buah’ itu,” katanya kepada pemberita selepas mengumumkan angka jualan daripada ekspo empat hari yang bermula pada 12 Sept, di sini, Jumaat.

Pesuruhjaya Perdagangan MATRADE Zaimah Osman turut hadir.

Ong berkata MATRADE menganjurkan lebih 460 mesyuarat diatur antara syarikat Malaysia dan pengimport, pengedar dan pemborong tempatan daripada beberapa wilayah di China.

Menurutnya, Pavilion Malaysia menyaksikan permeteraian lima Memorandum Persefahaman antara syarikat Malaysia dan pengimport tempatan bagi membekalkan produk berasaskan durian, konfeksioneri, makanan ringan, pes makanan, sos dan uncang kopi 3-dalam-1.

Beliau berkata pempamer yang menyertai ekspo itu juga menerima pertanyaan tentang produk Malaysia daripada pembeli Russia, Kazakhstan dan Mongolia, serta negara-negara anggota ASEAN, sambil menambah jenama Malaysia sememangnya telah terkenal dengan kualiti dan kepelbagaiannya.

Ong berkata CAEXPO telah menjadi platform berguna bagi perusahaan kecil dan sederhana Malaysia untuk mempromosikan dan memasarkan produk serta perkhidmatan mereka dengan tujuan menembusi pasaran China.

Menurutnya, syarikat baharu membentuk kira-kira 60 peratus daripada pempamer yang menyertainya dan mereka kagum dengan permintaan tinggi dan kuasa beli pengguna China.

Beliau berkata MATRADE akan terus menyelaraskan penyertaan syarikat Malaysia dan agensi kerajaan dalam CAEXPO 2018.

CAEXPO yang dimulakan pada 2004 di Nanning, bandar raya ketiga terbesar di China, berfungsi sebagai platform tahunan bagi menggalakkan kerjasama China-ASEAN dalam bidang perdagangan, pelaburan dan pelancongan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.