Meningkatkan bakat rakyat

UMS anjur Program Negaraku Kreativiti dan Komuniti (K@K)

Utusan Borneo (Sabah) - - Rencana - Oleh MOHD AFIS ISMAIL (Pelatih UMS)

BERSEMPENA sambutan Hari Malaysia peringkat nasional di negeri Sabah, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) anjur ‘Program Negaraku Kreativiti dan Komuniti (K@ K)’ selama dua hari bermula 14 September di Dewan Resital, Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (UMS).

Program turun padang KKMM dengan fokus kepada aspek kreativiti yang melibatkan Bahagian, Jabatan, Agensi di bawah KKMM disertai lebih 300 mahasiswa dan belia.

Usaha ini juga adalah program outreach perkhidmatan awam yang telah digariskan dalam Pelan Transformasi Perkhidmatan Awam sebagai sebuah program untuk meningkatkan bakat rakyat Malaysia.

KKMM telah mengadakan tiga siri Program K@K terdahulu iaitu di Kolej Komuniti Kok Lanas Kelantan, Kota Belud Sabah dan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kuala Langat, Selangor.

Selain memberi pendedahan kepada pelajar tahun akhir yang bakal menghasilkan filem pendek dan dokumentari, program ini juga inisiatif kepada penggiat industri untuk berkongsi pengalaman dan ilmu tentang cabaran dalam industri kepada para pelajar.

Bengkel serta sesi perkongsian ilmu dalam bidang penerbitan dan pengarahan dari tiga panel penceramah yang hadir Ghaz Abu Bakar, Pekin Ibrahim dan Raja Mukhriz berkongsi pengalaman dan tips sepanjang mereka menerajui industri perfileman Malaysia.

Pengisian program juga disusuli dengan Taklimat Keusahawanan #YOUCANDUIT dari MDEC.

Pendedahan diberi kepada peserta tentang trend terkini dalam industri kandungan kreatif melalui sesi perkongsian ilmu oleh pakar dan penggiat industri kandungan kreatif serta mencungkil bakat baru dalam kalangan pelajar.

Program ini juga memberi penerangan kepada pelajar, masyarakat setempat dan penggiat seni industri untuk memohon dana-dana yang ada bagi membantu hasil kreativiti untuk pergi lebih jauh dari sedia ada melalui Content Malaysia Pitching Centre (CMPC).

Habibah Zainal Abidin, Ketua Penolong Pengarah Latihan Industri FINAS berpendapat melalui program yang juga usaha untuk mencungkil bakat serta kreativiti pelajar perlu diteruskan.

Pihak Finas bersedia untuk bekerjasama dengan UMS dalam pengajuran program yang bercorakkan akademik seperti ini.

Penceramah Ghaz Abu Bakar yang juga pengarah filem Polis Evo berkongsi pengalaman beliau sepanjang 15 tahun bertapak dalam industri perfileman dan berharap peserta terutamanya pelajar tahun akhir menguasai teknik diajar serta diaplikasikan semasa menghasilkan filem pendek dan dokumentari kelak.

Dengan wujudnya penganjuran program Negaraku Kreativiti dan Komuniti (K@K) berupaya untuk dijadikan platform kepada kelompok masyarakat yang berbakat terutama generasi muda untuk bekarya sama ada dalam bidang perfileman, drama tv, penulisan skrip, animasi atau muzik akan menghasilkan sesuatu yang kreatif seterusnya mendapat pasaran di dalam dan luar negara.

(Gambar atas) GHAZ Abu Bakar (tiga dari kiri) memberi cenderahati Poster Polis Evo kepada Pensyarah FKSW (Blok Seni).

“Selain memberi pendedahan kepada pelajar tahun akhir yang bakal menghasilkan filem pendek dan dokumentari, program ini juga inisiatif kepada penggiat industri untuk berkongsi pengalaman dan ilmu tentang cabaran dalam industri ” kepada para pelajar.

(Gambar atas) RAJA MUKHRIZ (kiri) dan Pekin Ibrahim semasa sesi perkongsian ilmu dalam bidang penerbitan dan pengarahan.

BARISAN peneraju dan urusetia program ‘Negaraku Kreativiti dan Komuniti’ (K@K).

SEMASA program ‘Negaraku Kreativiti dan Komuniti’ (K@K) berlangsung.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.