Perkasakan Tamparuli sebagai pekan budaya dan sastera: Jahid

Utusan Borneo (Sabah) - - Sastera & Budaya -

TAMPARULI akan menjadi pekan budaya ulung di negeri ini.

Bagaimanapun, Pemimpin Kemajuan Masyarakat Tamparuli Datuk Jahid Jahim, berkata ia memerlukan kerjasama semua pihak khusus pengiat budaya seni dan sastera serta institusi pengajian tinggi seperti Institut Pendidikan Guru (IPG) Kent Tuaran.

“Pihak kerajaan komitden untuk membangunkan aspek kebudayaan dan persuratan ini kerana mampu meningkatkan kesedaran kita untukmengekalkan warisan bangsa,” katanya.

Beliau berucap merasmikan penutupan Bengkel Karya Kreatif dan Apresiasi Sastera KadazanDusun 2017 di Dewan Besar IPG Kent Tuaran, malam Ahad.

Turut hadir ialah Pengarah IPG Kent Romli Darus, Ketua Jabatan Bahasa IPG Kent, Aidah Abdul Ghani dan Penyelaras Program Linah Bagu.

Jahid berkata, sebagai negeri yang memiliki pelbagai suku kaum, aspek kebudayaan yang dimiliki oleh setiap bangsa itu mencerminkan, bukan sahaja lambang atau identiti mereka, tetapi menerapkan aspek keharmonian, saling bekerjasama dan bersatu padu.

“Begitu warisan kaum KadazanDusun membentuk sahsiah dan jati diri bangsa, secara langsung membentuk keperibadian masyarakat negeri ini. Keunikan ini tidak semata kita memandang tarian atau paluan gong itu sebagai pernyataan itulah budaya, tetapi cerminan bahawa kejayaan sebenarnya terletak bagaimana kita melaksanakan falsafah itu menerusi kebijaksanaan seimbangkan pembangunan rohani dan jasmani,”katanya.

Sebagai contoh, beliau berkata program dilaksanakan oleh IPG Kent mencakupi semua bidang iaitu persediaan dan latihan kepada pelatih menguasai ilmu pendidikan digabung dengan kemahiran dan pengetahuan hasilkan karya seni.

Menurutnya, apabila dua bidang ini disatukan, maka pelatih yang akan mengajar di sekolah sebaik sahaja menamatkan pengajian, mampu memberikan pengetahuan yang mendalam terhadap aspek pembangunan sahsiah dan kemajuan untuk membangunakn negeri dari segi ekonomi dan sosial.

“Saya amat yakin Unit Bahasa KadazanDusun di IPG Kent mampu membentuk generasi baharu yang akan menjadi pelapis kepimpinan dan pendidikan genersi akan datang untuk memperkasakan identiti dan jati diri anak cucu kita,” katanya.

Jahid berkata, sebagai bakal pendidik pada masa akan datang, mereka memainkan peranan yang penting untuk menerapkan elemen kebudayaan bangsa bukan sahaja kepada anak murid, tetapi kepada masyarakat sekitar.

Menurutnya, ini sesuai dengan peranan guru sebagai agen dan pemangkin untuk membudayakan bahasa ibunda agar tidak terus menjadi warisan yang tidak lagi digunakan pada masa akan datang.

“Saya amat khuatir bahawa era globalisasi akan memudarkan unsur identiti masyarakat kita termasuk KadazanDusun kerana pengaruh budaya luar semakin menarik perhatian masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Romli berkata langkah penganjuran sulung IPG dengan badan penulis di negeri ini adalah untuk mengukuh dan menambah ilmu pengetahuan dan kemahiran seni bahasa kepada pelatih yang menjadi bakal guru.

Menurutnya, ini memastikan pelajar atau murid mereka dapat diterangkan mengenai aspek kebudayaan dan seni serta sastera, selain tugas hakiki mereka membentuk generasi yang cemerlang dalam pendidikan dan kerjaya.

“Saya berkeyakinan penuh bahawa apresiasi sastera kalangan pelatih IPG Kent memainkan peranan penting dalam penyampaian maklumat menerusi keindahan bahasa,” katanya.

Pada acara penutupan itu, pelbagai acara dilaksanakan seperti membaca puisi, lakon drama sebabak mengenai kehidupan masyarakat KadazanDusun dan muzik tradisi.

Sebelumnya, pada sebelah siang bengkel apresiasi disampaikan oleh Timbalan PresidenPersatuan Penulis Momogun Malaysia (Momogunsia), juga tokoh penyair negeri Azlan atau Raymond Majumah dan Naib Presiden Momogunsia, Witzer Gunik, manakala sebelah petang, apresiasi terbitan dan penyiaran karya disampaikan oleh Ketua Jom Sastera Malaysia, Yatim Ahmad.

YATIM Ahmad menyampaikan makalah.

JAHID tiba untuk merasmikan majlis.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.