Cerpen: Cuma Tiga Hari

Utusan Borneo (Sabah) - - Sastera & Budaya - HASYUDA ABADI

WALAUPUN baru tiga hari mengenal abang, tapi saya dapat rasa abang seorang lelaki yang baik. Lugu dan polos.’

‘Lugu dan polos? Apa maknanya dik? Abang tidak faham.’

‘Lelaki bersih, murni dan suci.’ “Nah, tengok kan bang, dia sedikit pun tidak merendahkan abang, malah dia memuji.” Telunjuk isterinya lincah melarik-larik pada skrin sentuh telefon bimbitnya. Anak mata Haji Bais terkebil-kebil membaca ayat chat yang tertera.

“Tapi abang malah sampai hati memperlekehkan dia. Bahkan cenderung menghina,” telunjuk isterinya terus menolak baris demi baris ayat chat pada skrin sentuh tersebut.

“Abang tak menghina….” Haji Bais menyangkal.

“Tapi tengok bunyi mesej abang ni,” isterinya menunjuk.

“Salah adik juga, tidak pandai pilih suami. Tidak macam isteri abang yang pandai memilih. Walaupun banyak yang mengurat dia, tapi akhirnya dia pilih abang sebab abang ada kerja tetap.”

“Abang buat saya malu,” isterinya menjeling. “Saya ni siapalah untuk pilih abang. Allah SWT yang pilihkan abang untuk saya, bukan saya. Siapalah saya untuk menentukan itu dan ini dalam hidup saya.”

“Tapi hakikatnya, awak memang pilih abang kan?” “Jodoh yang pilih abang?” Haji Bais menggaru kepala yang tidak gatal.

“Abang tu sudah tiga kali naik haji, semestinya abang faham hakikat hidup yang sebenarnya. Usia abang hampir tujuh puluh tahun, seharusnya abang lebih menghormati perasaan orang. Bukan main lepas cakap saja.”

“Tapi memang dia tak pandai pilih suami. Sampai suami ketiga pun dia masih gagal mempertahankan rumahtangganya.”

“Bukan dia gagal mempertahankan rumahtangganya tapi memang takdir sudah begitu. Itu yang tertulis dalam Luh Mahfuz sejak azali. Itulah ujian Allah buat dia.”

Begitukah? Makin membulat mata Haji Bais menatap isterinya “Kenapa takdir yang disalahkan?” Soalnya kemudian.

“Siapa yang salahkan takdir?” Isterinya menyoal balik. “Abang sendiri yang cakap. Bukan saya. Abang baru kenal dia tiga hari tapi abang sudah berani menilai dia gagal hanya kerana dia bercerita pekara yang benar tentang hidupnya. Kita tak berhak menilai hidup seseorang yang baru tiga hari kita kenal, bang.” Beruntun kalimat isteri Haji Bais memukul- mukul kepalanya persis seperti segulung surat khabar yang dulu selalu arwah bapanya gunakan merembat betisnya setiap kali dia ponteng mengaji.

Kenapa isterinya asyik membenarkan perempuan itu? Haji Bais tercari-cari peribadi isterinya yang dahulu.

“Sekarang cuba abang jujur, siapa yang dulu memulai perkenalan? Siapa yang dulu hantar mesej? Siapa yang dulu terus ajak kahwin?”

“Abang!” Spontan Haji Bais menjawab.

“Ha?! Jadi kenapa sekarang abang berundur?”

“Abang tak mahu jadi suami yang ke empat.”

“Tak mahu menjadi suaminya yang keempatkah atau tak mahu terlibat dengan seluruh kehidupannya?”

Haji Bais tak dapat menjawab. Dia masih berfikir-fikir.

“Jawab dengan jujur bang! Tak mahu menjadi suaminya yang keempatkah atau abang ngeri melihat kesusahan hidupnya?”

Masih teragak-agak Haji Bais menjawab. Kepalanya menunduk. Persis kepala kecilnya yang menunduk ketika berhadapan dengan arwah bapanya dulu. Tiba-tiba ada perasaan takut menyerang. Arwah bapanya sudah lama meninggal, tapi ketakutannya sama seperti ketika arwah bapanya masih hidup.

“Berani kerana benar. Takut kerana Salah.” Haji Bais mendengar suara bapanya.

“Astaghfirullahulazim…” seiring istighfar yang terucap, pantas Haji Bais mengangkat kepalanya. “Apa sudah jadi?” Jemari Haji Bais meraup wajahnya yang berdagu sedikit panjang, persis seperti dagu watak katun ‘Popeye In The Sailman’.

Kabus kalut berligar di sekeliling Haji Bais. ‘Seharusnya aku tidak menyertai bengkel perniagaan itu!’ Ada nada penyesalan.

Setelah pencen, sebetulnya seperti suka-suka sahaja Haji Bais terlibat dalam perniagaan Madu Kelulut. Suka-suka kerana dia memang suka minum teh lemon suam yang dicampur madu. Suka-suka juga dia menjadi ajen pengedar Madu Kelulut dan kemudian sahabatnya yang menjadi pembekal, mengajaknya menyertai bengkel perniagaan tersebut. Dan bengkel perniagaan yang suka-suka dia ikuti itu membuat dia pula suka pada seorang peserta wanita. Suka yang bukan suka-suka, tapi memang suka yang betul-betul suka. Citata nama perempuan itu. Bukan hanya namanya mirip penyanyi dangdut Indonesia Cita Citata, tapi juga kecantikannya hampir sama. Itu yang membuat Haji Bais terus terpikat. Bahkan kemudian jatuh cinta pada pandang pertama.

Menurut info yang Haji Bais dapat dari kawan semejanya, Citata adalah seorang balu. Info itu memberanikan Haji Bais mendekati Citata dan terus minta selfie bersama sekaligus minta nombor telefon Citata. Seusai bengkel Haji Bais terus mewhatsapp Citata.

“Adik rasa, abang ni layakkah menjadi Imam adik?”

“Bukan hanya untuk adik, untuk wanita lain pun abang layak.”

Hati Haji Bais mekar bak bunga di taman.

“Kalau adik sudi terima abang, lepas kahwin tahun hadapan abang bawa adik pergi umrah.”

“Kahwin tu bukan pekara senang bang. Banyak benda perlu diambil kira. Anakanak, keluarga dan ekonomi. Terpenting, layakkah saya ni buat abang?”

“Kenapa pula tak layak?” Haji Bais seperti melihat lampu hijau.

“Hidup saya ni banyak masalah. Dulu perniagaan yang saya ada ni, saya warisi dari arwah suami. Saya tak tahu apa-apa pun dalam urusan perniagaan. Arwah pula mati mendadak. Untuk selamatkan perniagaan, saya terima pinangan pekerja yang menjadi pengurus perniagaan ini. Saya terpaksa terima walaupun usianya lebih muda sembilan belas tahun daripada saya. Saya tak tahu dalam diam rupanya dia seorang penagih. Hampir bankrap saya dibuatnya. Saya menuntut cerai takliq!” Warna lampu hijau dalam hasrat Haji Bais bertukar menjadi kuning.

“Lepas tu.. Arwah ada tinggalkan sebuah kereta yang selalu masuk bengkel kereta. Tak tahu kenapa tiba-tiba saya jadi jatuh gila pada seorang pekerja bengkel yang selalu baiki kereta saya. Saya tak mahu berlekang dengan dia dan nekad minta kahwin walaupun saya tahu dia beristeri. Isterinya pula setuju. Kami hiduplah bersama. Tapi keluarga saya hairan tengok perubahan kami anak-beranak yang tiba-tiba tak peduli keluarga. Malas solat dan asyik patuh menurut cakap suami saya. Saya turut saja apa yang isteri dia minta belikan. Sedar-sedar saya terlilit hutang dan sekali lagi hampir bankrap. Kakak sulung datang ke rumah dengan seorang Ustaz. Ustaz tu buat rawatan ruqyah. Susah payah saya dirikan solat. Baca Yasin setiap malam jumat. Tiba-tiba suami saya bersama isterinya tinggalkan rumah begitu saja dan tak pernah balik. Kata Ustaz yang meruqyah, kami anak-beranak kena Ilmu Itik!” Cerita Citata yang panjang lebar ini menukar warna kuning kepada warna merah. Merah menyala. Nafas Haji Bais seakan terhenti. “Ilmu Itik?”

“Iya.. Ilmu Itik adalah sejenis ilmu pengasih. Menurut Ustaz yang meruqyah, Ilmu pengasih itu terhasil dari segenggam beras yang dibacakan mentera lalu diberi makan pada seekor itik betina. Kemudian itik itu disembelih dan pedalnya diambil. Beras yang ada dalam pedal, dikeluarkan, dicuci dan dikeringkan kemudian dicampur ke dalam tong beras orang yang hendak dikenakan. Siapapun yang makan nasi hasil dari beras yang bercampur beras dalam pedal itik tersebut, akan patuh dan menurut saja seperti anakanak itik. Lihat saja macam mana perangai anak-anak itik yang sentiasa turut mengekori induknya.”

“AllahuAkbar…” Haji Bais terkejut besar. Bukan terkejut kerana baru tahu ada ilmu pengasih yang diambil dari sifat itik, tapi terkejut kerana rupanya hidup Citata bak kata pepatah ‘indah khabar dari rupa’. Hidup yang penuh masalah. Hampir bangkrap dan hutang keliling pinggang. Bererti Citata sudah tiga kali mendirikan rumahtangga. Kalau dia maju bererti dia akan jadi suami yang keempat! Nombor empat yang akan terpaksa terlibat dengan segala masalah Citata. Suami kedua dan ketiga senang-senang buat Citata hampir bankrap, takkanlah pula Haji Bais yang hanya dapat sisa sepahnya. Takkanlah Haji Bais yang kena betulkan semua benda. Haji Bais sudah tua dan dia ingin tenang menikmati hasil pencennya. Haji Bais menekan habis brek niatnya yang mahu memperisteri Citata.

“Abang berasa ngeri mengetahui cerita adik.”

“Tak apa bang. Adik okey je. Semua sudah berlalu. Adik bahagia dengan hidup adik sekarang. Biarlah buat masa ni kita bersahabat saja.”

Tanpa berlengah Haji Bais terus menyuarakan isyarat berhentinya. “Maafkan abang dik, abang tak sanggup jadi suami nombor empat. Menurut fungsui Cina, angka empat itu angka sial. Angka mati. Abang khuatir angka empat itu akan membawa badi kepada abang.”

“Siapa yang minta abang jadi suami nombor empat? Saya tak minta! Abang sendiri yang terus ajak kahwin. Jadi tak perlu minta maaf pada saya. Minta maaflah pada diri sendiri kerana abang yang menolak keinginan sendiri.”

“Hah… tengok tu… buat malu je.” Isteri Haji Bais tiba-tiba muncul mencebir. Haji Bais sekali lagi terkebil-kebil.

“Bang Aji, bangun…Bang Aji…” tubuhnya digoncang kuat.

Haji Bais membuka mata. Cahaya matahari menikam pandangannya. “Astaghfirullahulazim..” Haji Bais tidak sempat Solat Subuh.

Duduk termangu di atas sofa, Haji Bais seperti kena pukau. Kotak fikirnya masih dipenuhi oleh rentetan mimpi semalam. Antara bebelan isterinya, cerita Citata dan seimbas ingatan tentang arwah bapanya.

“Pukul berapa kita ke pasar bang Aji?” Mail meletakkan secawan kopi yang masih berasap. Mail anak yatimpiatu yang dibelanya sejak remaja. Mail yang menjadi pemandu merangkap pengurus peribadinya.

“Ke pasar..?” Terkejut kecil Haji Bais.

“Iya bang Aji. Belanja.” “Belanja apa?” Haji Bais menghirup kopi panasnya perlahan.

“Belanja untuk kenduri empat puluh arwah kak Hajah.”

“Hah…!?” Hampir tersembur kopi yang baru seteguk memasuki mulut Haji Bais.

Haji Bais berasa ada yang tidak kena pada dirinya. Betul kata isterinya dalam mimpi semalam. Dirinya memang tidak beres. Dia sampai lupa isterinya sudah meninggal dunia. Semuanya kerana Citata.

“Bukan kerana Citata. Tapi kerana kesepian anda. Anda sudah lama berpuasa. Semenjak arwah isteri anda terlantar sakit, anda tidak mendapat nafkah batin. Arwah suruh anda kahwin, tapi anda tak sampai hati menduakan arwah. Anda memang lelaki yang baik. Polos dan lugu kata Citata.” Suara itu keluar dari sepasang roti kahwin yang dilapisi mentega kacang. Mata Haji Bais hampir terbeliak. Teragak-agak Haji Bais memasukkan roti kahwin mentega kacang itu ke dalam mulutnya.

UMUM mengetahui bahawa pemikiran Melayu cukup analogis, kerana pemikiran ini disampaikan melalui kaedah perumpamaan, kiasan, tamsil ibarat, dan juga melalui teknik ironi yang dilihat sebagai menyerlahkan sifat kegeniusan, kegeligaan dan kebijaksanaan minda Melayu.

Kalau dalam kaedah fikiran logikal-deduktif yang dikembangkan di Barat berdasarkan ‘syllogism’ Aristotle, ada premis pertama dan premis menengah (kedua), yang diakhiri dengan kesimpulan, orang Melayu juga mempunyai cara pemikirannya sendiri untuk menyatakan ‘kebenaran’ yang sama secara tidak langsung melalui teknik perumpamaan, kiasan dan ibarat, tidak melalui proses deduktif-logikal yang belum tentu dapat menyatakan kebenaran yang pragmatik, yakni kebenaran yang tidak hanya berdasarkan logik tetapi ditentukan melalui pengalaman manusia.

Pemantun Melayu misalnya, berfikir dari tahap ‘bayangan maksud’ ke tahap ‘pernyataan maksud’. Boleh dianggap bayangan maksud dalam rangkap pertama pantun empat kerat ialah ‘premis’nya yang diciptakan melalui jalan bahasa estetik, kepada maksud pantun itu. Penulis beranggapan bahawa pantun memperlihatkan upaya kreativiti minda Melayu untuk menyatukan imaginasi dalam rangkap pertama dengan akal (maksud) yang diungkapkan pada rangkap berikutnya. Dengan kata lain, minda sebelah kanan otak manusia Melayu itu (tempat letaknya emosi manusia) digabungkan dengan minda sebelah kiri otak (tempat letaknya fikiran logikal dan rasional).

Stuktur pemikiran ini diberikan kesan estetik melalui bahasa yang berangkap dan berirama. Eienstein, manusia yang dianggap cukup geliga otaknya, pernah berkata bahawa

imagination is more important (powerful) than knowledge.

Sambil mengambil sebuah frasa kata pepatah Cina, sebuah gambar lebih berharga, lebih berkuasa, daripada seribu perkataan, memberitahu kearifan manusia membayangkan sesuatu objek atau memikirkan konsep dahulu sebelum objek atau konsep itu dibahasakan.

Kaedah berfikir secara analogis ini banyak sekali terdapat dalam peribahasa dan pepatah Melayu. Bahasa yang digunakan ialah bahasa metaforik. Sesuatu objek atau konsep yang abstrak diumpamakan dengan objek lain yang lebih konkrit. Kita mungkin tidak menyedari bahawa dalam percakapan kita sehari-hari, kita sering menggunakan bahasa metaforik. Misalnya, kita memberikan nilai ekonomi kepada masa dengan berkata ‘masa itu emas’ atau ‘menghabiskan masa’, dan sebagainya.

Kaki manusia dan haiwan digunakan juga untuk ‘kaki bukit’, ‘kaki langit’, bahkan metafora ini sampai ke tahap yang lebih kompleks lagi sehingga orang Melayu dapat menciptakan ungkapan seperti ‘kaki botol’, ‘kaki perempuan’, ‘kaki judi’, dan sebagainya, untuk menyatakan maksud ‘handal’ dan ‘ahli’. Tidak pasti siapakah yang mulamula menciptakan ungkapan itu, kita tidak tahu, tetapi yang penting ialah akal Melayu cukup kreatif, dan kerana itu bahasa Melayu sentiasa bernas, produktif, hidup, dinamik dan bertenaga.

Kaedah pemikiran analogi atau kaedah perumpamaan dan alegori digunakan bukan sahaja untuk membentuk makna baharu yang abstrak tetapi juga untuk menyampaikan pengajaran. Lihat sahaja bagaimana penglipurlara Melayu, melalui naratifnya, dapat menciptakan watakwatak fiksyen seperti Pak Pandir, Pak Kadok, Lebai Malang dan Mat Jenin sebagai bahan pengajaran dan peringatan. Mesejnya ialah agar anak cucuk Melayu jangan mencontohi watak-watak seperti itu. Dalam beberapa hikayat Melayu, misalnya Sulalat alSalatin, pengarangnya secara bijaksana, menggunakan nasihat atau wasiat raja yang baik kepada anak yang akan menggantikannya bertujuan mengajar raja tentang erti keadilan. Bahkan, kalau kita menggunakan versi teori hermeneutik yang disebut ‘reader-reponse theory’ (oleh Stanley Fish, 1980) kita dapat membaca atau mentafsirkan peristiwa ‘Hang Jebat Menderhaka’ dalam hikayat (naratif) Melayu sebagai fiksyen sastera yang direka untuk menyampaikan mesej bahawa ‘raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah’.

Jikalau tafsiran ini benar, pengarang Melayu itu dapat dianggap sebagai senimanpemikir yang geliga dan kreatif. Samalah geliganya pengarang Hikayat Hang Tuah yang mencuba menghidupkan semula ‘keagungan bangsa Melayu’ setelah Melaka dikalahkan oleh Portugis. Teknik yang digunakan ialah teknik dekonsktuktif. Pengarang berkenaan ‘merombak’ (dekonstruk) teks Sulalat al-Salatin (yang berakhir dengan kejatuhan Melaka di tangan Portugis) dan menggantikannya dengan teks baharu, iaitu Hikayat Hang Tuah. Dalam teks baharu ini, raja yang melambangkan kedaulatan bangsa Melayu, bendahara yang melambangkan kebijaksanaan pentadbiran dan Hang Tuah yang melambangkan keperwiraan (kekuatan tentera) Melayu tidak dimatikan di akhir hikayat. Makna yang hendak disampaikan ialah ‘tak kan Melayu hilang di dunia’, kata-kata semangat yang diciptakan oleh orang Melayu lebih 350 tahun kemudiannya.

Ini antara tanda keperkasaan orang Melayu sejak berzaman malah dalam kebijaksanaan yang amat intim dengan masyarakat ini tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa orang Melayu mampu mengungkapkan seberapa banyak rangkap pantun secara lisan dan secara spontan, atau menciptakan peribahasa yang diungkapkan dalam bahasa yang padat dan bersukat, mereka tentulah mampu menjadi ahli matematik dan ahli sains yang handal. Bahasa sains tidaklah sekreatif bahasa pantun dan bahasa peribahasa. Jikalau ahli sains mencipta konsep yang kadangkadang abstrak, pemikir Melayu yang menciptakan peribahasa dan pantun juga mencipta konsep yang abstrak. Bezanya ialah, jikalau ahli sains terpaksa bergantung kepada istilah yang mempunyai ‘makna’ yang ‘tepat dan tetap’ dalam bidang semiotik/ semiotologi, ini disebut fixed-code, seniman atau pemikir Melayu yang kreatif mencipta bahasa figuratif, bahasa metaforik, untuk mengungkapkan konsepnya atau makna secara supraleksikal atau supraliteral.

Proses kognisi ini tidak mudah dipelajari atau diajarkan kepada sesiapa yang tidak mempunyai kemampuan untuk berfikir secara kreatif, sedang ilmu matematik tidak sukar dipelajari. Seorang ahli matematik bukan bangsa Melayu pernah mengatakan, jikalau anak Melayu boleh menghafal al-Quran, tentu mudah bagi mereka untuk menghafal formula sains dan matematik. Jikalau kita hairan bagaimana orang boleh pintar dalam matematik, kita sepatutnya hairan juga bagaimana ada orang Melayu dahulu kala yang dapat mengungkap pantun baharu dalam bahasa berangkap dan mengaitkan pembayang maksud dengan maksud pantun itu secara spontan, atau bagaimana kanak-kanak dapat menghafal seluruh al-Quran yang biasa disebut hafiz.

Sesungguhnya bangsa Melayu di rantau ini mempunyai tradisi pemikiran yang luar biasa kreatifnya, dan tradisi ini menunjukkan bahawa minda bangsa Melayu sangat terbuka sehingga tamadun bangsa ini dapat terus diperkaya melalui proses perekayasaan budaya sepanjang zaman melalui pertembungannya dengan pelbagai tamadun luar – dari India, Islam, Barat dan lebih penting lagi, dari alam kita sendiri, yang membentuk teras tamadun kita bersama sejak 2 ribu tahun dahulu. Jikalau minda bangsa Melayu tidak terbuka, sudah pasti bangsa Melayu sudah lama tidak ada di dunia ini lagi, kalau pun ada, hanya wujud sebagai kumpulan-kumpulan etnik yang terpinggir, yang tidak penting dalam dunia globalisasi hari ini. Kita seharusnya cuba mengenal minda Melayu berdasarkan tradisi pemikiran ini. Korpusnya yang sama, yang kita lihat dalam bentuk teks tradisional seperti pantun, peribahasa, lipurlara, hikayat-hikayat lama, kitab-kitab ilmu agama dan tasawuf, terdapat di seluruh rantau dunia Melayu ini, dan geografi korpus inilah yang memainkan peranan penting untuk mengekal dan meneruskan tradisi yang sama ini pada masa mendatang.

Tentu sahaja dalam zaman moden ini korpus yang terlihat dalam pelbagai teks baharu – surat khabar, majalah, buku, novel, puisi moden dan sebagainya – mengandungi pelbagai variasi lokal yang merakamkan pelbagai makna baharu tersendiri menurut keadaan politik, ekonomi, budaya dan sosial di tempat masingmasing, tidak ketinggalan juga pengaruh etnik dan kepercayaan yang berada di pinggir tradisi itu, dan pengaruh globalisasi.

“Kaedah pemikiran analogi atau kaedah perumpamaan dan alegori digunakan bukan sahaja untuk membentuk makna baharu yang abstrak tetapi juga untuk menyampaikan pengajaran. Lihat sahaja bagaimana penglipurlara Melayu, melalui naratifnya, dapat menciptakan watakwatak fiksyen seperti Pak Pandir, Pak Kadok,LebaiMalangdanMatJeninsebagai bahan pengajaran dan peringatan.

Sekadar gambar hiasan

Karya SASJIRA

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.