SAMBUNGAN CERPEN

Utusan Borneo (Sabah) - - Sastera & Budaya -

“Cuba jujur bang, kalau Citata tu janda kaya raya dan abang rasa tidak menyusahkan abang, tentu abang tetap meneruskan niat abang kan walaupun barangkali jadi suaminya yang ke sepuluh.” Suara Arwah isteri Haji Bais seperti turun mencurah bersama air pancuran yang membasahi tubuhnya.

“Kalau niat abang untuk kahwin dengan Citata tu, semata-mata mau senang, niat abang tu tak betul.”

“Kita hanya berani kalau niat kita betul-betul benar.” Memintas suara lantang arwah bapa Haji Bais. “Lihat Para Syahidin yang berani berjuang demi menegakkan agama yang benar. Mereka berani kerana niat mereka betul. Tapi kalau niat kita salah kita akan jadi penakut. Kita jadi pengecut kalau niat kita betulbetul tidak betul. Niat yang salah. Lihat saja para pemimpin tak kira di mana saja, yang hipokrit. Bersembunyi di sebalik topeng kemanusian tapi dalam hati penuh bisikan Iblis Laknatullah. Konon pembangunan untuk kesejahteraan rakyat, tapi harga barang semua naik, minyak naik…”

“Bang Aji… bang Aji…” panggilan Mail memintas khutbah arwah bapa Haji Bais. Naik geram juga Haji Bais dibuatnya. Dengan kepala dan badan yang masih berbungkus buih sabun, Haji Bais membuka pintu kamar mandi.

“Hah! Kenapa Mail!? Tak nampakkah aku tengah mandi!?” Mata Haji Bais terjegil. Merah matanya ditingkah warna buih yang putih.

Mail tersengih-sengih. Tubuh Haji Bais hanya bertutup buih. Teragak-agak Mail bersuara.

“Errr… saya risau. Hampir dua jam Bang Aji di kamar mandi. Arwah kak Hajah pesan agar perhatikan Bang Aji kalau masuk bilik air. Bang Aji tu ada darah tinggi. Takut abang jatuh ke… apa ke…”

Haji Bais menghempas tutup pintu kamar mandi dan meneruskan mandiannya.

“Sudah tua begini seharusnya abang Haji banyak buat amalan. Menikahi balu dan memelihara anak yatim itu besar pahalanya bang. Itu sunnah Rasulullah.” Suara isteri Haji Bais mengiang lagi. Bukan hanya suara tapi wujudnya pun turut muncul pada cermin. Cermin meja solek peninggalan arwah isteri Haji Bais.

“Betulkan niat abang. Niat abang yang benar. Niat yang tulus dan ikhlas ingin kahwin semata-mata kerana Allah. Bukan kerana nafsu.” Berkaca-kaca mata Haji Bais mendengar suara arwah isterinya. Hatinya mendadak sayu. Tiba-tiba dia menjadi sangat rindu pada wanita yang hampir tiga puluh lapan tahun dia nikahi itu. Satu-satunya wanita yang menjadi

isterinya.

“Kenapa abang tidak kunjungi Citata. Lihat sendiri bagaimana kehidupannya. Kenali dia lebih dekat.” Begitu manis senyum arwah isterinya. Hampir menitik airmata Haji Bais dibuatnya. Tapi begitu mendengar nama Citata secepat kilat tangan Haji Bais menangkupkan kopiah hajinya ke atas kepala.

Bergegas Haji Bais mengarahkan Mail memecut keretanya ke tempat Citata. Mudah saja tempat itu dijumpai kerana Citata tinggal dan menjalankan perniagaan arwah suaminya di daerah yang memang terkenal. Haji Bais melangkah masuk ke dalam sebuah restoran yang berhawa dingin. Papan tanda di atas pintu restoran bertuliskan nama ‘Selera Citata’. Seorang Pelayan datang menyambut.

“Silakan masuk Tuan Haji. Silakan duduk.”

Haji Bais mengambil meja berhampiran dinding kaca yang membolehkannya melihat keluar. Dia bertanya.

“Puan Citata ada?”

“Ohh Puan..? Dia tak ada. Tapi mungkin ada di butik atau di Pasar Mini tu,” pelayan menunjuk keluar. Mata Haji Bais mengekori. Dia ingat, masa masuk tadi dia sempat melihat ke tingkat atas dan membaca papan tanda bertuliskan ‘Butik Andaman Citata’. Juga masa keretanya membelok masuk, Haji Bais sempat melihat sederet kedai yang bertuliskan ‘Pasar Mini Citata’.

“Restoran, butik dan Pasar Mini tu Puan Citata yang punya ke?”

“Iya.”

“Peninggalan arwah suaminya?” “Hanya Pasar Mini tu peninggalan arwah Suaminya. Butik dan restoran ni Puan Citata yang usahakan sendiri.”

“Perniagaan puan Citata ok kah? Maju?”

“Tentulah maju. Alhamdulillah, kalau tidak, takkanlah dia boleh buat empayar perniagaan seperti sekarang. Restoran, Butik Andaman, Pasar Mini dan insyaallah saya dengar puan Citata akan buka Bengkel Kereta.”

“Kenapa Citata tak bagi tahu,” Haji Bais terpelongo.

“Macam mana dia nak bagi tahu abang, kalau abang kelam kabut tarik diri.” Isterinya tiba-tiba menggantikan figura pelayan itu.

“Abang tu memang suka terburu-buru. Buat malu betul. Apa abang fikir dengan tempoh cuma tiga hari tu, abang sudah boleh mengenali seluruh hidupnya?!”

Keringat sejuk mulai merenik di sekitar dahi dan tengkuk Haji Bais.

“Tuan Haji mahu minum apa?” Pelayan itu bertanya.

Tapi kelibat Citata yang melintas di sebelah dinding kaca, membuat Haji Bais bingkas bangun lalu pantas bergerak keluar, meninggalkan restoran tersebut.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.