SPRM PANGGIL 45 SAKSI

Bantu siasatan lebih 70 projek bernilai RM1.5 bilion di Sabah

Utusan Borneo (Sabah) - - Muka Depan - Oleh AMIR ANUAR (kanan) menunjukkan isyarat ‘thumbs down’ ketika meninjau sendiri keadaan di Projek Loji Bekalan Air Kg Sungai Intan (PLBAKSI) Semporna.

SEMPORNA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah memanggil 45 individu untuk memberi keterangan mengenai isu penyelewengan dana awam di Sabah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata beberapa orang lagi akan turut dipanggil termasuk bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Semporna Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

“Kami akan panggil semua yang terlibat di dalam isu (penyelewengan dana awam) ini melibatkan lebih 70 projek yang dianggarkan bernilai kira-kira RM1.5 bilion,” katanya,

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja meninjau Projek Loji Bekalan Air Kg Sungai Intan, kira-kira 20km dari Pekan Semporna pada Khamis.

Menurutnya setakat ini, tumpuan siasatan dijalankan berhubung kes berkaitan penyelewengan dana awam di negeri ini sebelum memperluas kannya ke negeri lain.

Menjawab soalan pemberita sekiranya SPRM ada mengadakan sitaan terbaharu selain daripada kira-kira RM1.8 juta yang sudah disita, beliau berkata angka itu masih kekal.

“Setakat ini, masih lagi kekal (RM1.8 juta) tetapi kami percaya akan ada lagi (sitaan terbaharu yang akan menyusul selepas ini),” katanya.

Dzulkifli berkata, siasatan projek lain turut dibuka yang dikendalikan Pengarah Perisikan SPRM yang juga bekas Pengarah SPRM Sabah Datuk Hishamuddin Hashim serta diselia oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi) Dato’ Sri Azam Baki.

Mengulas kesediaan Parti Warisan Sabah (Warisan) untuk disiasat SPRM, Dzulkifli berkata siasatan yang dijalankan pihaknya tidak melibatkan kepentingan parti politik.

“Isu ini melibatkan peruntukan Kerajaan Persekutuan yang berlaku isu salahguna kuasa atau rasuah dan kita bukan hanya menangkap orang Warisan tetapi ada juga dari Umno.

“Asas siasatan kes ini bukanlah daripada parti-parti politik tertentu, tetapi pendirian berdasarkan bukti yang kita ada tanpa melibatkan pengaruh partiparti politik.

“Isu ini melebihi (perihal) ‘parti politik’, dan kita akan panggil sesiapa sahaja (termasuk wakil rakyat) yang mempunyai kaitan dengan kes yang disiasat,” katanya.

DZULKIFLI

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.