Wanita ditahan bersama 27 biji telur penyu

Utusan Borneo (Sabah) - - Muka Depan - Oleh NOORASVILLA MUHAMMA

SANDAKAN: Seorang wanita berusia 50 tahun ditahan selepas dipercayai terlibat urusan jual beli telur penyu di Bandar Sandakan pada Khamis.

Pegawai Hidupan Liar Sandakan Hussein Muin berkata, wanita itu telah ditahan di hadapan Blok 16, Jalan Pryer di sini kira-kira jam 11.30 pagi oleh sepasukan anggota penguatkuasa terdiri daripada empat anggota Polis Marin, lima anggota penguatkuasa MPS dan tiga kakitangan Jabatan Hidupan Liar Sandakan.

“Ketika ditahan, wanita terbabit memegang dua plastik hitam yang berisi 27 biji telur penyu yang dianggarkan bernilai RM40.50,” katanya.

Sementara itu, dalam operasi yang sama, pihaknya turut menemukan sejumlah 168 biji telur penyu yang disimpan dalam dua beg putih. Kesemua telur penyu yang dianggarkan bernilai RM252 itu ditinggalkan tanpa pemilik di hadapan sebuah kedai di Jalan Pryer.

Kesemua telur penyu itu dirampas untuk siasatan lanjut di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.

Menurut Hussein, menerusi operasi kali ini, pihaknya memberi tumpuan kepada pembeli dan akan meneruskan operasi seumpamanya pada bila-bila masa sahaja.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.