Lempeng tanpa gula diet Si Bayau, demi kelangsungan hidup

Penting demi kelangsungan hidup monyet proboscis

Utusan Borneo (Sabah) - - Muka Depan -

PENJAGAAN diet yang ketat dan betul serta makanan tambahan seperti lempeng tanpa gula sangat penting demi kelangsungan hidup monyet proboscis atau gelarannya di negeri ini sebagai Si Bayau.

Menurut pemandu pelancong Muhd Jhonathan Escobido Abdullah, 31, Si Bayau sangat berbeza dengan primata lain kerana ia tidak makan buahbuahan dan juga makanan manis melainkan tumbuhtumbuhan.

“Ini kerana, perut mereka tidak dapat mencerna gula yang terkandung pada buah-buahan yang boleh mengakibatkan kematian,” katanya yang hampir 10 tahun bertugas di Labuk Bay Sanctuary.

Menjelaskan pemilihan lempeng sebagai makanan tambahan, beliau berkata ia bermula kira-kira 20 tahun yang lalu ketika Platfom B masih digunakan sebagai kuarters pekerja.

“Keadaan cuaca sangat terik ketika itu hingga dedaunan yang menjadi sumber makanan mereka menjadi layu menyebabkan Si Bayau memecah masuk ke dalam kuarters dan makan lempeng bersama secawan kopi yang diletakkan di atas meja.

“Keadaan itu berterusan beberapa hari selepas itu kerana kekurangan daun sebagai makanan sehingga pihak kami seterusnya membuat kajian akan kesesuaian lempeng untuk dijadikan makanan tambahan buat mereka,” jelasnya.

Kata Jhonathan, menu lempeng itu disediakan sendiri oleh pekerja empat kali sehari mengikut jadual makanan Si Bayau iaitu di Platform A pada jam 9.30 pagi dan 2.30 petang manakala di Platform B pada jam 11.30 pagi dan 4.30 petang.

“Memandangkan di kawasan ini yang dikelilingi pokok bakau, maka mereka hanya akan makan daun dari pokok itu serta kekacang saja selain timun dan lempeng yang kami sediakan.

“Kawasan di sini hanya sebesar 500 ekar, itulah sebabnya kami perlu memberi makanan yang cukup termasuk makanan tambahan supaya mereka tidak pergi ke tempat lain dan terdedah dengan ancaman luar.

“Memandangkan kawasan ini juga berdekatan dengan kawasan sawit, kami mahu elakkan mereka ke sana supaya tidak merosakkan buah sawit dan mengganggu ladang orang,” katanya.

Tambah beliau, dana untuk membaik pulih fasiliti Labuk

Bay Sanctuary dan makanan monyet diperoleh daripada jualan tiket yang dikenakan kepada pengunjung.

Bagi pengunjung tempatan dewasa, yuran yang akan dikenakan adalah RM15 dan RM5 untuk kanak-kanak manakala untuk pelancong pula dikenakan RM60 untuk dewasa dan RM30 untuk kanak-kanak disertai bayaran tambahan jika membawa kamera.

Sekurang-kurangnya, kehadiran pelancong di sana membantu mereka belajar mengenal hidupan liar dan sekaligus lebih menghargai alam serta bantu melindungi spesies yang terancam.

“Bekerja dengan hidupan liar seperti Si Bayau perlu berhadapan pelbagai cabaran mengendalikan mereka berbanding bekerja di zoo kerana perlu mempelajari kelakuan dan gaya hidup monyet supaya mudah dikawal.

“Saya pernah ditampar oleh monyet kerana sifatnya yang selalu teruja, namun begitu ia adalah sejenis monyet yang sangat lemah lembut dan tidak agresif.

“Ada juga sesekali mereka berbuat bising dan berlari di atas hentian rehat ini serta membuat bunyi yang kuat untuk menunjukkan kekuasaan mereka bagi menggertak pencabar,” jelasnya.

Keseluruhannya, Jhonathan berkata terdapat 200 ekor monyet di situ namun setiap platfom mempunyai jumlah populasi yang berbeza kerana

Si Bayau gemar tinggal berkelompok.

Terdapat dua jenis label yang telah dibahagi di sana iaitu kelompok berkeluarga yang terdiri daripada seekor jantan dominan yang dikelilingi oleh betina dan bayi dimana jika bayi tersebut berusia dua tahun, dia akan diusir untuk menyertai kumpulan bujang.

Kumpulan bujang pula hanya terdiri daripada monyet jantan. Dalam kumpulan itu pula, jika suatu ketika mereka berasa sudah kuat, mereka akan cuba mencabar jantan dominan tadi untuk menggantikan kedudukan itu.

Dalam pada itu, salah seorang pengunjung tempatan Hashim Ibrahim, 55, merasa teruja dengan lawatan pertama kalinya ditambah lagi dapat berdiri berhampiran Si Bayau menjadikan ia pengalaman yang menyeronokkan.

“Memang sangat teruja dapat melihat haiwan dalam jarak dekat yang selama ini hanya diperhati dari jauh ataupun dilihat melalui kaca televisyen dan majalah,” katanya.

Beliau turut memuji usaha yang dijalankan di kawasan berkenaan kerana merasakan sangat perlu diadakan pusat pemuliharaan untuk mengekalkan kewujudan monyet proboscis.

“Ia boleh dijadikan bukti kepada generasi akan datang bahawa monyet berhidung besar ini bukan sekadar satu mitos.

“Saya rasa, kerajaan juga perlu memainkan peranan memulihara habitat monyet ini daripada gangguan kerana jika tempat semulajadinya diganggu kemungkinan mereka akan pupus.

“Ini termasuklah menaiktaraf fasiliti di kawasan itu yang dilihat memerlukan penambahbaikan terutama sekali mengkaji kepelbagaian jenis diet seperti lempeng untuk kelangsungan hidup mereka,” katanya.

MONYET betina dan bayi yang sentiasa bersama monyet jantan dominan. - Artikel sumbangan Jabatan Penerangan SI Bayau sabar menanti makanan diagihkan.

lempeng tanpa gula yang disediakan khas oleh pekerja Labuk Bay Sanctuary.

MENIKMATI

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.