Rompak: Lelaki dipenjara 12 tahun dan sebat

Utusan Borneo (Sabah) - - Muka Depan - Oleh CLARICE USOP

KOTAK INA BALU: Seorang lelaki yang melakukan rompak bersenjata di sebuah kedai serbaneka dikenakan penjara 12 tahun dan satu sebat, oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis.

Mohd Khairol Kamis, 28, dijatuhkan hukuman berkenaan oleh Hakim Noorhafizah Mohd Salim, selepas mengaku bersalah.

Dalam penghakimannya, beliau menyatakan walaupun tertuduh tidak mempunyai rekod kesalahan lampau, namun dalam kes terbabit senjata digunakan serta melibatkan kepentingan awam.

Tertuduh mengacukan sebilah samurai terhadap pembantu pengurus cawangan yang berusia 26 tahun ketika beliau bertugas, lalu merampas sekotak rokok Dunhill.

Kesalahan dilakukan pada 3 Oktober jam 8.30 malam, di kedai 99Speed Mart Taman Limauan Kinarut, di daerah Papar.

Mohd Khairol disabitkan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dihukum mengikut Seksyen 397 kanun sama, penjara maksimum 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan.

Mengikut fakta kes, ketika pengadu bertugas seorang lelaki (tertuduh) berbaju dan berseluar hitam datang membawa samurai bersarung hitam.

Tertuduh kemudiannya menyatakan kepada pengadu “Bos ini rompakan dan bagi saya duit RM200,” namun pengadu menyatakan tidak ada wang.

Selepas itu, tertuduh meminta wang di dalam mesin wang tetapi pengadu menyatakan mesin berkenaan berkunci.

Manakala rakan sekerja pengadu diminta untuk membuka mesin wang berkenaan, namun tidak berjaya.

Sebelum beredar, tertuduh meminta sekotak rokok dan mengarahkan mereka untuk meminta bayaran daripada majikannya yang memiliki sebuah kedai telefon bimbit di kawasan berhampiran.

Pengadu dan rakannya mengenali tertuduh sebagai Kenol yang tinggal di taman berkenaan dan laporan polis dibuat untuk tindakan lanjut.

Ketika rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukumannya diringankan kerana semasa kejadian dirinya berada dalam keadaan tertekan.

“Saya tertekan kerana orang-orang sekeliling cakap yang bukan-bukan walaupun saya berusaha berubah. Pada waktu itu, saya ada minum alkohol untuk tenangkan fikiran.

“Saya tahu ini kesilapan besar, saya hanya mahu meminta pertolongan daripada orang yang dikenali di kedai terbabit. Tapi cara saya salah,” katanya.

Timbalan Pendakwaraya Khairuddin Idris menegaskan hukuman berat perlu dijatuhkan terhadap tertuduh dengan mengambil kira kepentingan awam.

“Tertuduh bersenjatakan sebilah samurai yang boleh menimbulkan ketakutan kepada para pelanggan dan masyarakat secara umumnya.

“Parlimen memandang serius dengan jenayah seperti ini dan tekanan bukan alasan untuk membenarkan tindakan tertuduh melakukan kesalahan berkenaan,” katanya.

“Tertuduh bersenjatakan sebilah samurai yang boleh menimbulkan ketakutan kepada para pelanggan dan masyarakat secara umumnya. Parlimen memandang serius dengan jenayah seperti ini dan tekanan bukan alasan untuk membenarkan tindakan tertuduh ” melakukan kesalahan berkenaan.

KHAIRUDDIN IDRIS Timbalan Pendakwaraya

MOHD Khairol (kiri) diiringi anggota polis keluar dari kamar mahkamah.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.