Cubaan rentas sempadan gagal, 34 ditahan

ATB 2 tahan 34 individu disyaki langgar kawasan perintah berkurung

Utusan Borneo (Sabah) - - Muka Depan - Oleh YUSOP TEPPO

SEMPORNA: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (MK ATB 2) telah berjaya menahan 34 individu bersama tujuh bot yang dipercayai cuba merentas sempadan dan melanggar kawasan perintah berkurung, malam Rabu.

Komander ATB 2 Brig Jen Zarondin Md Amin berkata kejayaan itu hasil tindakan agresif pasukan Quick Reaction Force (QRF) dalam melaksanakan pemintasan di perairan utara Pulau Danawan berdasarkan maklumat pengesanan radar.

Beliau berkata kesemua mereka yang berumur lingkungan 20 hingga 50 tahun dan ditahan pada jam 8.39 malam dipercayai datang dari selatan Filipina serta tidak mempunyai pengenalan diri yang sah.

“Pemeriksaan lanjut telah dilakukan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pulau Mabul dan mendapati kesemua individu terbabit telah melanggar perintah berkurung serta tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah,” katanya.

Zarondin berkata kesemua individu dan bot diserahkan kepada pihak berkuasa Esscom melalui PDRM Pulau Mabul kira-kira jam 4.40 pagi untuk tindakan selanjutnya.

Katanya penahanan itu merupakan satu kejayaan yang membanggakan kerana ia adalah penahanan teramai yang dilakukan oleh ATB 2 pada tahun ini.

Beliau berjanji akan terus bekerjasama dengan Esscom untuk memantau dan menyekat sebarang aktiviti jenayah di perairan pantai timur Sabah demi menjamin kestabilan sosial dan ekonomi penduduk tempatan.

“Kesemua dipercayai datang dari selatan Filipina serta tidak mempunyai pengenalan diri yang sah.

BRIG JEN ZARONDIN MD AMIN Komander ATB 2

34 INDIVIDU yang ditahan oleh pihak ATB 2 dipercayai cuba merentas sempadan dan melanggar kawasan perintah berkurung.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.