45 PENGGANAS DITAHAN

Dipercayai anggotai pelbagai kumpulan di seluruh dunia

Utusan Borneo (Sabah) - - Muka Depan -

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menahan 45 individu yang dikategorikan sebagai pengganas warga asing (FTF) hasil tindakan proaktifnya melancarkan operasi mengesan dan menangkap mereka setakat 6 Okt lepas.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata mereka yang ditahan itu disyaki anggota pelbagai kumpulan pengganas di seluruh dunia.

Katanya tindakan proaktif itu diambil berdasarkan risikan yang diperoleh bahawa anasir Daesh dari pelbagai negara yang sebelum ini beroperasi di Iraq dan Syria, mula menyusup keluar dari negara berkenaan selepas kumpulan mereka kehilangan sebahagian besar kawasan yang dikuasai sebelum ini.

Beliau berkata kesemua mereka telah diarahkan menyusup masuk ke negaranegara di seluruh dunia untuk melancarkan serangan bagi pihak Daesh.

“Risikan yang diperoleh mengesahkan terdapat kumpulan pengganas asing yang bergabung dengan Daesh sama ada di rantau Asia Tenggara atau di peringkat global seperti Abu Sayyaf Group (ASG) dan Jamaatul Mujahideen yang mengarahkan anggota kumpulan mereka menyusup masuk dan melancarkan serangan di Malaysia,” katanya.

“Daripada 45 individu FTF yang ditahan itu sembilan disyaki terlibat dalam kumpulan pengganas ASG, tiga disyaki terlibat dalam kumpulan pengganas Fetullah Turki (kumpulan yang disenaraikan sebagai kumpulan pengganas oleh Pertubuhan Kerjasama Islam).

“Seorang disyaki terlibat dengan kumpulan pengganas Albania yang mempunyai hubungan dengan Daesh manakala seorang lagi disyaki terlibat dalam kumpulan pengganas Jamaatul Mujahidden Bangladesh,” katanya.

Mohamad Fuzi berkata baki 31 individu lagi merupakan FTF merangkumi pelbagai warganegara yang disyaki terlibat dalam Daesh termasuk tiga FTF warga Iraq yang merupakan komander Daesh di selatan Iraq.

Mengenai tindakan terhadap mereka, beliau berkata 13 suspek telah dituduh di mahkamah di bawah Bab VIA – kesalahan berkaitan dengan keganasan, Kanun Keseksaan dan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.

“Seramai 12 suspek telah diusir ke negara asal untuk tindakan susulan pihak berkuasa berkenaan manakala seorang suspek telah dikenakan perintah tahanan di bawah Akta Pencegahan Keganasan 2015,” katanya. -Bernama

PEGAWAI JHL bertugas meletakkan semula bangkai penyu yang diisi di dalam karung di atas ‘bucket’ kenderaan jabatan selepas dibawa keluar dari kamar Mahkamah Sesyen Tawau.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.