Naib Presiden Warisan dibebaskan dengan jaminan SPRM

Utusan Borneo (Sabah) - - Muka Depan - Oleh VIVI OLVIANA NAJURUS

KOTA KINABALU: Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas tempoh tahanan remannya berakhir pada Jumaat.

Individu bergelar Datuk yang ditahan bagi membantu siasatan penyelewengan dana awam untuk projek pembangunan luar bandar Sabah, dibebaskan di Hospital Pakar Damai kira-kira jam 9.45 pagi.

Majistret Cindy Mc Juse Balitus membenarkan beliau dibebaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM50,000 dan dua penjamin tempatan.

SPRM diwakili Pegawai Penyiasat SPRM Mohd Faliq Basiruddin manakala peguam Martin Tommy bagi individu berkenaan.

Individu yang berumur 46 tahun itu bersama seorang lagi pengarah sebuah syarikat pembinaan berumur 52 tahun ditahan sepasukan anggota SPRM pada 5 Oktober antara jam 6.40 petang sehingga 9.45 malam di Pejabat SPRM.

Mereka kemudiannya direman selama lima hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 sebelum tempoh tahanan reman dilanjutkan masing-masing selama tiga dan empat hari pada Selasa.

Semasa dalam tahanan reman, Naib Presiden Warisan dimasukkan ke Hospital Pakar Damai pada malam Selasa akibat kekurangan air dalam badan selain mengalami tekanan darah tinggi.

Pihak perubatan juga mencadangkan kepada pihak SPRM untuk menjalankan dokumentasi pelepasan reman di wad hospital sebelum beliau dibenarkan keluar dan kirakira jam 1.10 petang Jumaat, beliau dibenarkan keluar daripada hospital.

Setakat ini SPRM sudah menahan tujuh individu termasuk ahli perniagaan, Ketua Wira Warisan, Ketua Pemuda Umno Tenom dan Tawau, bekas timbalan setiausaha bahagian Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

Sementara itu dalam perkembangan berasingan lima individu dipanggil untuk memberikan keterangan mengikut Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata kesemua individu terbabit dipanggil berikutan terlibat dalam perhimpunan solidariti yang dianjurkan penyokong parti Warisan di Suria Sabah dan Mahkamah Kota Kinabalu.

Tambahnya tindakan itu turut diambil berikutan pihak penganjur tiada memberikan sebarang notis pemberitahuan serta kebenaran kepada pihak polis sebelum perhimpunan dilakukan.

Katanya anggota polis terutamanya pasukan Light Strike Force (LSF) kini turut disiapkan untuk berada di kawasan wujudnya perhimpunanbagimemastikan ketenteraman serta keamanan terus terpelihara.

“Kita menyediakan anggota di lokasi bukan sahaja untuk mengawal keadaan persekitaran serta lalu lintas untuk mengelakkan sebarang perkara tidak diingini.

“Setakat ini kesemua perhimpunan yang dilakukan oleh pihak terbabit masih terkawal bagaimanapun sesiapa yang didapati bersalah akan dikenakan tindakan tegas serta merta,” katanya.

(Gambar atas) NAIB Presiden Warisan bersalaman dengan ahli keluarga sebaik dikeluarkan dari hospital petang Jumaat.

(Gambar kiri) CINDY (dua kanan) semasa keluar dari Hospital Pakar selepas membenarkan pembebasan reman Naib Presiden Warisan pada Jumaat.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.