Perintah berkurung di Esszone dilanjut

Utusan Borneo (Sabah) - - Muka Depan -

KOTA KINABALU: Perintah berkurung di kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) yang berakhir Jumaat dilanjutkan sehingga 29 Okt ini, berkuatkuasa hari ini dari 6 petang hingga 6 pagi.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din berkata perintah berkurung berkenaan meliputi kawasan perairan daerah Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

“Dengan berkuatkuasanya perintah berkurung ini, orang ramai yang tinggal di kawasan berkenaan dikehendaki berada di dalam rumah (dan orang lain tidak dibenarkan memasuki atau berada) di kawasan yang telah diisytiharkan pada waktu yang dinyatakan,” katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Beliau berkata langkah meneruskan perintah berkurung berkenaan adalah bagi memastikan kawasan perairan itu tidak diceroboh oleh pengganas yang boleh mengancam keselamatan penyelidik antarabangsa serta pelancong yang berkunjung ke pulau-pulau peranginan di kawasan berkenaan.

Ramli berkata berdasarkan maklumat yang diterima, kumpulan dari selatan Filipina yang menjalankan aktiviti penculikan untuk mendapatkan wang tebusan serta kumpulan Abu Sayyaf masih cuba menceroboh perairan Esszone untuk menculik dan melakukan jenayah rentas sempadan yang lain. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.