Pertama kali prosiding kes berlangsung dalam keadaan ‘unik’

Utusan Borneo (Sabah) - - Muka Depan - Oleh AMIR ANUAR

TAWAU: Prosiding kes di Mahkamah Sesyen di sini, Jumaat, pertama kali dilangsungkan dalam keadaan ‘unik’ apabila kedua-dua daun pintu kamar mahkamah terpaksa dibuka selepas diarahkan oleh hakim. Utusan Borneo yang turut berada di mahkamah mendapati keadaan itu berpunca akibat bau busuk bangkai penyu yang dibawa masuk semasa prosiding sedang berlangsung.

Situasi itu berlaku semasa Hakim Indra Ayub mengendalikan prosiding melibatkan kes dua nelayan warga asing yang didakwa memiliki hampir 100kg cengkerang dan bahagian lain Penyu Hijau.

Semasaprosidingberlangsung, hakim mengarahkan supaya pihak pendakwaan-Jabatan Hidupan Liar (JHL) membawa masuk barang bukti ke dalam mahkamah.

Arahan dibuat untuk memberi peluang kepada kedua-dua tertuduh memeriksa dan mengesahkan sendiri bahawa bahan-bahan bukti terbabit sebagai milik mereka.

Berikutan itu, dua pegawai JHL bertugas membawa masuk bangkai penyu terbabit namun menyebabkan bau busuk ‘memenuhi segenap ruang’ kamar mahkamah berkenaan.

Langkah itu untuk memastikan proses keadilan diberikan kepada kedua-dua tertuduh untuk mengenalpasti bahan bukti asal yang dirampas daripada mereka.

Kedua-dua tertuduh, Adam Ilma, 30, dan Gunak Sinduk, 20, kemudiannya mengesahkan bangkai penyu yang dibawa masuk ke dalam mahkamah itu sebagai milik mereka.

Dalam penghakimannya, Indra menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dan denda RM150,000 atau tambahan satu tahun penjara kepada Adam dan Gunak, serta turut memerintahkan kedua-dua tertuduh dirujuk kepada Jabatan Imigresen.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.