K’jaan peka keperluan rakyat

Tiga gereja terima bantuan kewangan

Utusan Borneo (Sabah) - - Tempatan - Oleh YUSOP TEPPO

SANDAKAN: Sebanyak tiga gereja di Beluran dan Telupid menerima bantuan kewangan berjumlah RM450,000 daripada kerajaan yang disampaikan oleh Ahli Parlimen Beluran Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Gereja berkenaan adalah Saint Andrew Beluran menerima bantuan kewangan berjumlah RM200,000, RTDS-Katholik Mission Telupid (RM150,000) dan Gereja BCCM Murok Kampung Bauto Telupid (RM100,000),

Ronald yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat menyampaikan cek bantuan kewangan itu kepada wakil setiap gereja berkenaan dalam satu majlis di sini, pada Khamis.

Gereja Saint Andrew Beluran diwakili Paderi Penguasa Arun Kuak, RTDS Katholik Mission Telupid diwakili Joseph Sulam dan gereja BCCM Kampung Bauto Telupid diwakili Pengerusinya Diris Saat.

Ronald berkata pemberian bantuan kewangan itu merupakan usaha beliau bagi memenuhi keperluan rumah ibadat di sekitar kawasan Parlimen Beluran.

Katanya peruntukan bantuan kewangan untuk tiga gereja daripada kerajaan itu beliau usahakan dengan berjumpa secara terus dengan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

Menurutnya ini membuktikan pemimpin di peringkat Persekutuan peka dengan keperluan rumah ibadat di negeri ini khususnya di kawasan Parlimen Beluran.

“Ini juga menunjukkan kerajaan tidak mengetepikan dan mengabaikan aspek keagamaan di negeri ini,” katanya.

Menurutnya sebanyak 15 gereja baharu telah dibina di kawasan Parlimen Beluran bagi memenuhi keperluan keagamaan rakyat di kawasan itu.

Ronald berkata usaha untuk mendapatkan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan akan beliau teruskan kerana masih ada kampung yang memerlukan gereja baharu atau naiktaraf.

Sementara itu, Paderi Penguasa Gereja Saint Andrew Beluran Arun Kuak berkata pemberian bantuan kewangan itu sungguh bermakna dan bukti keprihatian kerajaan terhadap keperluan badan keagamaan dan gereja khususnya di kawasan Parlimen Beluran.

Katanya bantuan kewangan itu akan digunakan untuk pembinaan gereja baharu di Kampung Rampek.

Beliau berkata usaha Ronald mendapatkan peruntukan untuk pembinaan gereja baharu di Kampung Rampek dan untuk dua gereja lagi menunjukkan inisiatif wakil rakyat itu bagi memenuhi keperluan rakyat.

Turut hadir, Ketua Pemuda Umno Beluran Samad Jambri.

“Ini juga menunjukkan kerajaan tidak mengetepikan dan mengabaikan aspek keagamaan di negeri ini.

DATUK SERI DR RONALD KIANDEE Ahli Parlimen Beluran

RONALD (empat dari kanan) dan Samad (dua dari kanan) bergambar bersama wakil tiga gereja yang menerima bantuan kewangan pada majlis itu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.