Jeti bukan dibina untuk komersial

Keterangan Mayor dalam kes perbicaraan bot catamaran karam

Utusan Borneo (Sabah) - - Tempatan - Oleh CLARICE USOP

KOTA KINABALU: Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Yeo Boon Hai memberitahu Mahkamah Sesyen pada Jumaat bahawa jeti di Kampung Tanjung Aru Lama, di sini, bukan digunakan untuk menjalankan aktiviti komersial.

Beliau saksi ke-16 memberikan keterangan di hadapan Hakim Noorhafizah Mohd Salim ketika menjawab soalan balas daripada Timbalan Pendakwaraya Nurun Nazifah Muhammad dari Jabatan Maritim.

Menurutnya, jeti berkenaan dibina Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) sejak lapan tahun lalu di kawasan terbabit, setelah mendapat permintaan daripada penduduk kampung.

“Tiada permintaan daripada pihak lain untuk menggunakan jeti berkenaan. Jeti terbabit juga tidak boleh digunakan untuk aktiviti komersial (mengangkat dan menurunkan pelancong),” katanya.

Beliau menyatakan jeti berkenaan tidak diwartakan kerana tiada di dalam prosedur dan pihaknya hanya meluluskan melalui Jawatankuasa Perancangan DBKK dan bukan satu keperluan.

Sebelum projek diluluskan, semua jeti dan titian dibina mengikut prosedur ditetapkan setelah dibincangkan dan memenuhi keperluan penduduk kampug.

Yeo memberitahu notis pemberitahuan mengenai fugsi jeti terbabit tidak dipaparkan kerana dibina khas untuk penduduk di kawasan terbabit.

“Sebab jeti berkenaan digunakan penduduk kampung dan tiada aktiviti lain yang perlu kami fikirkan. Jika ada kerosakan dan keperluan baharulah kita melakukan pemantauan.

“Selepas kejadian (bot karam), kita ada meletakkan papan tanda bahawa jeti terbabithanyauntukpenduduk kampung. Pihak kami tidak mahu orang lain memberikan alasan,” katanya.

Menurutnya, pihaknya juga ada melakukan pemantauan berkala di jeti terbabit agar tiada aktiviti dan keperluan lain selain daripada penduduk kampung.

Beliau juga mengesahkan dua surat ditandatanganinya memaklumkan bahawa jeti konkrit terbabit dimiliki dan diselenggara DBKK dan hanya digunakan oleh penduduk dan nelayan.

Sementara itu, saksi ke15 Penguatkuasa Jabatan Pelabuhan Dermaga Sabah (JPDS) Sahar Piasin, 57, berkata pada 17 Januari beliau ada memeriksa bot jenis ‘catamaran’ JN6717/2/P.

“Saya dimaklumkan oleh pihak Jesselton Point bot berkenaan ada meminta kebenaran untuk menaikkan dan menurukan penumpang di jeti terbabit,” katanya.

Bagaimanapunmenurutnya, hasil pemeriksaan yang dilakukan mendapati bot berkenaan tidak menepati ciriciri keselamatan ditetapkan di dalam lesen.

“Peralatan keselamatan yang tidak mencukupi seperti jaket keselamatan dan pelampung. Pada waktu itu hanya ada sebuah pemadam api yang diletakkan di dalam bot,” katanya.

Mengikut pertuduhan Leong Vin Jee, 44, Chung Ket Siew, 64, dan Sharezza Salian, 26, didakwa dengan cuai membahayakan nyawa penumpang bot dan menyebabkan kematian.

Sharezza sebagai juragan bot didakwa membahayakan nyawa 20 pelancong China pada 28 Januari jam 10 pagi hingga jam 11 pagi, di perairan Pulau Mengalum, di sini.

Leong sebagai pengurus operasi dan Chung pengarah Syarikat Golden Sailing Travel and Tour Sdn.Bhd, masing-masing didakwa membenarkan Sharezza membawa bot ke laut dan menyebabkan kecederaan terhadap semua penumpang bot berkenaa.

Untuk itu, ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Seksyen 337 Kanun Keseksaan.

Mereka juga didakwa mengikut Seksyen 304 A kanun sama, atas pertuduhan menyebabkan kematian secara cuai.

Leong dan Sharezza juga didakwa gagal menyediakan peralatan keselamatan seperti didalam Jadual Keempat dalam Peraturan-Peraturan Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2008.

Chung dan Leong juga dituduh gagal mengemukakan lesen membawa bot penumpang mengikut Peraturan 9 PeraturanPeraturan Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2008.

Chung sebagai pemilik berdaftar ke atas bot berkenaan didakwa mengikut Peraturan 13 PeraturanPeraturan Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2008, kerana tidak memberikan peringatan kepada Leong mengenai Sharezza sebagai juragan kepada pihak berkuasa.

Terakhir, Leong dan Sharezza juga didakwa menaikkan 30 penumpang berserta krew di jeti haram di Kampung Tanjung Aru Lama, di sini, yang didakwa mengikut Seksyen 13 peraturan sama.

Peguam Hamid Ismail dibantu peguam Michell Rosana Osman dan Benazir Japiril dari Yayasan Bantuan Guaman Malaysia (YBGK) mewakili Sharezza, manakala Leong dan Chung diwakili peguam Edward Paul dan Alffie Jonney.

Timbalan Pendakwaraya Nartiah N. Michell Sambatan turut melakukan pendakwaan.

Mahkamah menetapkan pada 16 Oktober untuk sambungan perbicaraan.

“Untuk itu, ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Seksyen 337 Kanun Keseksaan. Mereka juga didakwa mengikut Seksyen 304 A kanun sama, atas pertuduhan menyebabkan kematian secara cuai. ”

TEO

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.