Mahkamah tambah hukuman lelaki Rohingya lindungi pendatang

Utusan Borneo (Sabah) - - Tempatan -

PUTRAJAYA:Seorang lelaki pelarian Rohingya terpaksa kembali semula ke penjara selepas Mahkamah Rayuan menambah hukuman penjaranya daripada tiga tahun kepada lima tahun atas kesalahan melindungi 20 pendatang Bangladesh dan Myanmar yang diseludup ke negara ini.

Panel tiga hakim dianggotai Datuk Wira Mohtarudin Baki, Datuk Seri Zakaria Sam dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan pendakwa raya terhadap Mohd Hussein Mohd Kassim.

“Hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar secara nyata tidak mencukupi...rayuan pihak pendakwaan dibenarkan,” kata Mohtarudin yang mempengerusikan sidang panel itu.

Beliau memerintahkan Mohd Hussein, 30, seorang pemegang kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR), menjalani hukuman itu daripada tarikh dia ditangkap pada 2 Julai 2015.

Selepas dibebaskan dari penjara pada 2 Julai tahun ini selepas menjalani hukuman penjara tiga tahun, dia ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Belantik, Sik, Kedah, sementara menunggu rayuan pihak pendakwaan.

Sementara itu, hakim Zakaria berkata sebagai seorang pelarian sendiri, Mohd Hussein harus bersyukur kerana Malaysia telah memberi perlindungan kepadanya tetapi sebaliknya dia terbabit dengan sindiket penyeludupan manusia. Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.