GAUM serah maklumat baharu penyelewengan dana di Sabah kepada SPRM

Utusan Borneo (Sabah) - - Tempatan -

PUTRAJAYA: Gerakan Akar Umbi Umno Malaysia (GAUM) pada Jumaat hadir ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini untuk menyerahkan maklumat tambahan baharu berhubung kes penyelewengan dana untuk kepentingan rakyat miskin di Sabah.

Pengerusinya Datuk Zulkarnain Mahdar berkata beliau turut bersedia dipanggil oleh SPRM pada bila-bila masa bagi membantu siasatan kes itu yang dipercayai melibatkan jumlah keseluruhan RM1.5 bilion.

“Saya dimaklumkan SPRM akan meneliti dokumen yang diserahkan hari ini,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan dokumen terbabit di Ibu Pejabat SPRM di sini.

Zulkarnain berkata GAUM tidak mempunyai sebarang kepentingan dalam membangkitkan isu tersebut kerana badan berkenaan bukan pelapor tunggal.

Isu itu pernah dibangkitkan oleh Anggota Parlimen Kota Kinabalu daripada DAP, Dr Hiew King Cheu pada 2011 selain laporan polis oleh Angkatan Muda Keadilan Sabah sebelum ini, katanya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad sebelum ini dilaporkan berkata SPRM telah memanggil 45 saksi termasuk tujuh yang ditahan reman berhubung penyelewengan dana pembangunan infrastruktur luar bandar di Sabah membabitkan peruntukan RM1.5 bilion dan lebih 70 projek. - Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.