Umat Islam perlu kikis sikap negatif

Harus berubah untuk mencapai halatuju dan kemajuan negeri

Utusan Borneo (Sabah) - - Tempatan - Oleh SADDAM EDRIS

KOTA KINABALU: Umat Islam sebagai penduduk majoriti negeri ini hendaklah mengikis segala sikap yang negatif dan berazam meningkatkan lagi kualiti amal ibadat, sahsiah, jadi diri dan akhlak bagi mengubah keadaan hidup ke tahap lebih baik.

Timbalan Ketua Pengarah (Khidmat Pengurusan) Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) Bahari Hassan berkata, ia termasuklah mengubah cara bekerja untuk mencapai matlamat hala tuju negeri dan mentransformasikan negeri kepada sebuah negeri ekonomi berpendapatan tinggi.

“Kita mesti berani melakukan perubahan penambahbaikan radikal dalam cara bekerja bagi menjana model ekonomi baru yang sedang kita tempuhi.

“Maknanya, kita mesti bersedia untuk terus belajar, berkongsi pengalaman, kemahiran dan juga kepakaran. Ini kerana daya saing kita adalah bergantung kepada keupayaan kita untuk terus bersaing dan menyumbang lebih daripada apa yang ditawarkan oleh bangsa atau negara lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis Perhimpunan Sambutan Maal Hijrah peringkat Bandaraya Kota Kinablu 1430H/2017M, di Dewan Serbaguna Masjid Al Munir Kampung Darau, di sini pada Jumaat.

Selain itu Bahari berkata, umat Islam juga perlu komited dalam mewujudkan masyarakat yang dinamik, berkeyakinan dan berdaya saing serta berpegang teguh kepada pegangan agama.

Katanya, ia adalah resepi terbaik bagi membolehkan umat Islam membawa rakyat dan negeri ini melangkah jauh ke depan supaya mampu berdiri sama tinggi dengan bangsa dan kaum lain dalam segenap perkara.

“Kita perlu dipacu dengan ilmu pengetahuan yang diadun dengan kekuatan iman, Islam serta ilmu ukhrawi dan juga duniawi secara bersepadu, serta wajar diasah agar berfikir untuk mencipta kejayaan dan kegemilangan tamadun.

“Hanyadengankekuatandan keupayaan ilmu pengetahuan, daya intelek dan jati diri, kita akan lebih bersedia dan boleh berhadapan dengan dunia global yang serba mencabar hari ini,” jelasnya.

Bersempena sambutan Maal Hijrah tahun ini bertemakan ‘Kesatuan Ummah Kesejahteraan Negara’, beliau berharap agar umat Islam secara keseluruhannya dapat mempersiapkan dan memperkasa diri dengan memanfaat segala ilmu pengetahuan, tenaga dan kemahiran yang dimiliki demi menempuh cabaran selain mendapat berkat dan rahmat dari tuhan.

Terdahulu, pelbagai pengisian diadakan sempena sambutan itu seperti bacaan al-Quran oleh johan Qari Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Bandaraya 1438H Ustaz Muhammad Haniff Ahmad, persembahan nasyid, dan ceramah Khas Maal Hijrah oleh Ustaz Mohd Shahir Ismail.

Turut berlangsung adalah penyampaian Anugerah Tokoh Khas Maal Hijrah Peringkat Bandaraya 1439H kepada Penerbit Rancangan Jabatan Penyiaran Nursuhaila Sabrina Ba’as Abdullah dan Pengerusi Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) Sabah Ritchie Jay Cheng.

“Kita mesti berani melakukan perubahan penambahbaikan radikal dalam cara bekerja bagi menjana model ekonomi baru yang sedang kita tempuhi. ” BAHARI HASSAN

Timbalan Ketua Pengarah (Khidmat Pengurusan) Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK)

BAHARI (empat, kanan) menyampaikan sijil Anugerah Tokoh Khas Maal Hijrah peringkat Bandaraya 1439H kepada Ritchie pada majlis berkenaan.

ORANG ramai yang hadir pada perhimpunan sambutan Maal Hijrah.

BAHARI (kanan) menyampaikan sijil Aungerah Tokoh Khas Maal Hijrah Peringkat Bandaraya 1439H kepada Nursuhaila pada majlis berkenaan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.