Sistem perparitan baharu jejas sawah padi

Utusan Borneo (Sabah) - - Sarawak -

SIBU: Pemilik sawah padi berhampiran Rumah Chabu, Tanjung Penasu tidak dapat mengerjakan sawah mereka selepas ia ditenggelami air sejak sebulan lepas.

Seorang penduduk, Nicholas Renang mendakwa, sawah itu ditenggelami air berpunca daripada sistem perparitan jalan baharu yang dibina di situ.

“Kami percaya masalah ini berpunca daripada sistem perparitan jalan menyebabkan air tidak dapat mengalir keluar ke sungai berhampiran,” ujarnya.

Nicholas mendakwa disebabkan masalah itu, ada pemilik sawah tidak dapat menanam padi manakala bagi yang telah menanam padi, ratarata anak padi tidak dapat tumbuh.

Beliau juga memberitahu, sebelum kerja pembinaan jalan baharu itu, masalah seperti itu jarang berlaku walaupun ketika musim hujan.

“Namun kini, sawah padi ini ditenggelami air lebih kurang setengah meter sejak sebulan lepas.

“Kami mohon pihak berkenaan memberi perhatian terhadap masalah yang dihadapi pemilik sawah ini,” katanya.

Dalam pada itu, Nicholas juga menyeru pihak berwajib memberi perhatian terhadap sistem perparitan serta rumput yang panjang di bahu jalan.

Beliau memberitahu rumput tersebut sudah lama tidak dipotong manakala parit di tepi jalan dipenuhi rumput serta tidak dibersih.

“Sebelum ini rumput dipotong dan parit ini dibersihkan sebulan sekali,” jelasnya sambil menambah, rumput itu mula memenuhi bahu jalan,” katanya.

SAWAH padi milik penduduk yang ditenggelami air yang tidak dapat mengalir keluar.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.