Pengebom nekad Boko Haram bunuh 5 di timur laut Nigeria

Utusan Borneo (Sabah) - - Global -

KANO: Lima orang maut dalam serangan bom nekad ketika Boko Haram menyerbu sebuah perkampungan terpencil di timur laut Nigeria, seorang anggota militia awam dan perkhidmatan kecemasan menyatakan kelmarin.

Ibrahim Liman, daripada Pasukan Petugas Bersama Awam (CJTF) berkata serangan berlaku di perkampungan Belbelu, berhampiran Kayamla, di kawasan Konduga di wilayah Borno, pada kira-kira jam 10 pagi waktu tempatan.

Beberapa penyerang menyerbu kampung itu dan salah seorang pejuang jihad tersebut meninggalkan kumpulan dan menuju ke arah sebuah tempat menyimpan gandum, memaksa anggota CJTF untuk melepaskan tembakan.

“Mereka terus menembak dengan senjata mereka dari belakang pagar sementara dia terus berjalan ke depan dan turut membalas tembakan dengan menggunakan senjata AK-47,” kata Liman.

“Apabila dia semakin hampir, dia meletupkan bom yang dilekatkan pada badannya, membunuh empat anggota CJTF dan mencederakan dua orang lagi.

“Seorang wanita berhampiran turut terkorban. Serangan itu memaksa anggota sukarelawan kembali semula ke kampung tersebut yang mencetuskan keadaan panik di kalangan penduduk yang mula melarikan diri.

“Penyerang kemudian memecah masuk ke dalam beberapa silo dan mengambil gandum, kebanyakannya sekoi, betari dan jagung. Mereka mengambil apa yang termampu dan memusnahkan yang lain.”

Keterangan itu disokong oleh anggota perkhidmatan kecemasan di Borno, yang meminta identitinya dirahsiakan atas tujuan kese-lamatan.

Daerah Konduga ke tenggara Maiduguri menjadi kawasan panas dan terkenal bagi aktiviti Boko Haram di sebalik dakwaan kerajaan dan tentera bahawa kumpulan itu sudah lemah.

Pada Ogos, empat anggota CJTF adalah di antara lima orang yang terkorban dalam serangan hendap Boko Haram ke atas sebuah konvoi beberapa trak di bawah iringan bersenjata di perkampungan Meleri.

Pada Jun lepas, lelaki bersenjata Boko Haram telah bersembunyi di sebalik pokok dan membunuh lapan anggota CJTF di luar Kayamla. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.