Lelaki bersenjata tembak mati wartawan TV Pakistan

Utusan Borneo (Sabah) - - Global -

PESHAWAR: Sekumpulan lelaki bersenjata kelmarin menembak mati seorang wartawan TV Pakistan di sebuah lembah barat laut Swat, menurut polis.

Haroon Khan, yang bertugas sebagai pemberita sambilan bagi rangkaian tempatan Mashriq Television, berdiri di luar rumahnya ketika beliau diserang.

“Dua lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke arah Khan yang meninggal dunia di tempat kejadian,” pegawai kanan polis tempatan Sohaib Ashraf memberitahu AFP.

Beliau berkata penyerang tersebut segera menghilangkan diri sebelum sesiapa dapat menghalang mereka.

Seorang lagi pegawai polis tempatan, Muhammad Ali, mengesahkan tentang insiden tersebut.

Swat dikenali sebagai satu kisah kejayaan dalam perjuangan Pakistan menentang Taliban dan militan yang dikaitkan dengan Al-Qaeda oleh pasukan tentera tempatan, yang menamatkan keganasan Taliban di kawasan berkenaan.

Pernah merupakan satu destinasi pelancongan terkenal, lembah yang menarik itu terlepas dari kawalan Islamabad pada Julai 2007 selepas ulama radikal Maulana Fazlullah melancarkan kempen bagi melaksanakan undangundang syariah Islam.

Pakistan telah melancarkan serangan udara dan darat yang sengit di lembah tersebut selepas pihak militan keluar dari Swat dan menuju ke arah 100 kilometer dari ibu negara Islamabad pada April 2009.

Pejuang Taliban juga cuba membunuh aktivis remaja Malala Yousafzai pada 2012 di Swat kerana pandangan beliau yang berani mengenai pendidikan bagi kanak-kanak perempuan.

Malala terselamat dan pada Oktober 2014 telah menjadi pemenang paling muda bagi Anugerah Kedamaian Nobel bagi keberanian beliau dan menegaskan perjuangan bagi semua kanak-kanak untuk mempunyai hak berse-kolah. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.