MSR jalin usaha sama dengan Tee teroka pasaran Asia Tenggara

Utusan Borneo (Sabah) - - Bisnes -

KUALA LUMPUR: Malaysian Solar Resources Sdn Bhd (MSR) dan Tee International Limited menandatangani usaha sama strategik bagi menembusi pasaran tenaga solar Singapura dan meneoka pasaran Asia Tenggara, selain aktif mengambil alih ladang solar lama di Malaysia.

Menerusi usaha sama strategik itu, kedua-dua syarikat dijangkakan membentuk syarikat usaha sama (JV Co) dengan TEE dan MSR masing-masing menguasai 51:49 peratus kepentingan.

Ketua Pegawai Kewangan MSR, Lisa Ong Hooi Chen berkata JV Co menyasarkan pengambilalihan aset dengan kapasiti antara lima dan 10 megawat.

“JV Co akan meningkatkan kelebihan saingannya dengan menggabungkan kepakaran MSR dalam industri solar dengan perkhidmatan dan pengalaman bersepadu TEE dalam bahagian infrastuktur serantau,” katanya.

Ong berkata demikian kepada Bernama aketika ditemu pada Pameran dan Persidangan Produk Teknologi Hijau Antarabangsa (IGEM 2017) kelapan di sini semalam.

Beliau berkata, berikutan penubuhan JV Co, TEE dan MSR akan bersama-sama menyertai tender projek solar di Singapura dan meneroka peluang pelaburan solar di Asia Tenggara, dengan Indonesia dan Vietnam menjadi tumpuan.

Mengenai kehadiran MSR di pasaran serantau, Ong berkata ini akan membuka peluang untuk mereka meneroka pasaran Indonesia dan Vietnam.

“Kami akan berada di pasaran yang lebih stabil seperti Singapura dan bagi Vietnam dan Indonesia, walaupun bergantung kepada arang batu, kerajaan negara berkenaan sedang menuju ke arah tenaga bersih, dan kesedaran sudah pun wujud di sana,” katanya.

MSR telah membuat kajian ke atas Vietnam selama hampir setahun, dan sekarang merupakan masa yang tepat untuk memasuki pasaran, katanya.

Ketua perniagaan Infrastruktur Tee, Edwin Neo, berkata syarikat itu akan menyuntik dana berdasarkan kes.

“Apabila ada keperluan kami akan memperuntukkan dana, dan dalam tempoh yang sama, kami akan aktif membida tender solar kerajaan Singapura serta memenuhi permintaan oleh sektor swasta,” katanya.-Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.