Nilai jualan borong, runcit naik kepada 97.7 bilion pada Ogos

Utusan Borneo (Sabah) - - Bisnes -

KUALA LUMPUR: Nilai jualan perdagangan borong dan runcit Malaysia meningkat sebanyak 9.8 peratus kepada RM97.7 bilion pada Ogos 2017 berbanding tempoh sama pada 2016.

Dalam satu kenyataan semalam, Jabatan Perangkaan Malaysia berkata nilai jualan perdagangan borong adalah RM47.4 bilion, jualan runcit (RM38.0 bilion) dan kenderaan bermotor (RM12.3 billion).

Menurutnya, pertumbuhan positif itu disumbangkan oleh perdagangan runcit (13.4 peratus).

Indeks volum perdagangan borong dan runcit meningkat 7.9 peratus kepada 158.3 mata pada Ogos 2017 berbanding bulan Ogos 2016, disokong oleh peningkatan perdagangan runcit.

“Perdagangan runcit meningkat sebanyak 11.9 peratus manakala indeks volum pelarasan bermusim perdagangan borong dan runcit meningkat 1.2 peratus berbanding bulan sebelumnya,” katanya.

Indeks volum perdagangan borong meningkat 6.2 peratus kepada 169.4 mata pada Ogos 2017 berbanding Ogos 2016.

Bagi perbandingan bulan ke bulan, indeks volum ini (pelarasan bermusim) meningkat sebanyak 3.8 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Menurut jabatan itu, bagi perniagaan perdagangan runcit pula, indeks volum meningkat 11.9 peratus kepada 158.8 mata pada Ogos 2017 berbanding tempoh sama sebelumnya manakala indeks volum pelarasan bermusim perdagangan itu mencatat penyusutan 1.1 peratus berbanding Julai 2017.-Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.