Logo ‘Transformasi Produk’ iktiraf produk tempatan

Produk melepasi proses saringan dan dijamin kualitinya

Utusan Borneo (Sabah) - - Bisnes -

PETALING JAYA: Logo ‘Transformasi Produk’ yang diperkenalkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) merupakan penarafan terhadap produk hasil usahawan tempatan yang melepasi proses saringan dan dijamin kualitinya, kata Menteri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata, logo baharu itu dapat membantu pengeluar terutama usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mencapai kehendak pasar raya besar tempatan dan luar negara antaranya dalam aspek kualiti dan pembungkusan produk.

“Selain perlu ada logo Buatan Malaysia, logo ini membuktikan bahawa produk yang berkenaan telah melalui proses transformasi, penyelidikan atau insentif yang kita beri melalui KPDNKK, produk ini sudah boleh masuk ke pasaran pasar raya besar dan juga untuk dieksport.

“Buat masa ini kita tidak wajibkan dan permohonan adalah secara percuma sehingga sampai satu tempoh yang akan dikenakan bayaran. Selepas ini pengguna akan tahu bahawa dengan logo ini mereka yakin produk yang berkenaan bermutu dan berkualiti tinggi,” katanya kepada selepas merasmikan majlis penutupan Program Cita rasa Malaysia 2017.

Beliau berkata penandaan logo yang diperkenal kirakira tiga bulan lalu itu juga bertujuan mengelak penyalahgunaan logo yang dikeluarkan KPDNKK terhadap produk yang tidak melalui proses penilaian kementerian itu.

Pada majlis itu, Hamzah turut melancarkan logo baharu berkenaanserta menyampaikan sijil penghargaan kepada 20 jenama PKS tempatan di bawah bimbingan KPDNKK.

Mengenai Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) 2.0 yang dijangka dilancarkan pertengahan bulan ini, beliau berkata peluang mengusahakannya terbuka kepada rakyat Malaysia yang layak.

“Ia terbuka bukan hanya kepada mereka yang menubuhkan koperasi tetapi juga individu yang mampu untuk membuka kedai runcit di tempat masing-masing,” katanya ketika mengulas hasrat Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) yang dilaporkan berminat mengendalikan KR1M 2.0. — Bernama

HAMZAH (kanan) melihat sajian dan hiasan makanan daripada Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Bhd. Johan Ishak (tiga, kanan) pada majlis Perasmian Penutupan Program Citarasa Malaysia di Seri Pentas Media Prima semalam. — Gambar Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.