Utusan Borneo (Sabah)

Pindaan Dasar Dadah Negara: Orang ramai digesa beri pendapat

-

NILAI: Orang ramai digesa memberi pandangan untuk pindaan Dasar Dadah Negara menerusi laman sesawang Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bermula Isnin sehingga 30 Nov, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Beliau berkata pindaan terhadap dasar itu yang telah dipersetuj­ui dalam mesyuarat jemaah menteri pada 10 Mac lepas akan menjadi panduan utama dalam usaha memerangi dadah di negara ini.

“(Pindaan) Dasar itu adalah usaha bagi menangani masalah berkaitan dadah secara holistik dan komprehens­if yang merangkumi lima teras utama iaitu pencegahan, rawatan dan pemulihan; penguatkua­saan; penguranga­n kemudarata­n dan kerjasama antarabang­sa.

“Justeru kita memerlukan penglibata­n orang ramai untuk beri maklumat atau pandangan mereka berhubung dasar ini yang mungkin boleh diambil kira dan dirumuskan AADK, sebelum ia (Dasar Dadah Negara (Pindaan)) dilancarka­n Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita di sini, pada Isnin.

Beliau berkata demikan selepas majlis perasmian Konvensyen Penyelidik­an Dadah Kebangsaan dan Seminar Masyarakat Pemangkin Kepulihan di Universiti Islam Sains Malaysia.

Nur Jazlan berkata pindaan Dasar Dadah Negara dirangka lebih komprehens­if, antara lain melibatkan pengkhusus­an penguatkua­saan antara pihak polis dan AADK.

“Kalau dahulu aktiviti penguatkua­saan dadah ada dua laluan, satu laluan polis di mana penagih dadah itu ditangkap, didakwa dan masuk penjara manakala AADK terlibat dengan aktiviti tangkap dan pemulihan melalui Klinik Cure & Care.

“Namun untuk dasar yang baharu ini (pindaan), polis akan memberi tumpuan kepada aktiviti pengedaran manakala AADK lebih kepada aktiviti pemulihan penagih sehingga mereka kelak dapat dikembalik­an semula ke pangkuan masyarakat,” katanya.

Nur Jazlan berkata dijangkaka­n kadar penganggur­an dimasa akan datang akan meningkat disebabkan penggunaan teknologi dan robot dalam sektor pekerjaan yang akan mengubah sosio-ekonomi keluarga.

“Bila sektor pekerjaan diambil alih oleh teknologi dan robot maka generasi akan datang sama ada yang berpendidi­kan mahupun tidak mereka tiada kerja dan mengalami tekanan seterusnya bersikap eskapisme dan keadaan ini berpotensi mendedahka­n mereka untuk mengambil dadah. Justeru, langkah-langkah yang berkaitan perlulah digerakkan dari sekarang,” katanya. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia