CUBAAN SAMUN GAGAL

Lelaki bertopi keledar diberkas polis

Utusan Borneo (Sabah) - - Muka Depan - Oleh AMIR ANUAR

TAWAU: Cubaan seorang lelaki bertopi keledar menyamun sebuah premis 24 jam dengan senjata tajam di Taman Sejati, Jalan Kuhara, di sini, berjaya digagalkan sepasukan polis.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam Isnin itu, tindakan suspek, 37, lelaki warga asing terbabit mengacukan senjata tajam kepada mangsa dikesan awal oleh polis.

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Fadil Marsus berkata ketika itu, sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tawau menjalankan Rondaan Cegah Jenayah di kawasan terbabit.

“Pasukan kita ternampak suspek sedang mengacukan senjata tajam ke arah penjaga kaunter premis berkenaan, seorang pemuda berusia 21 tahun,” katanya di sini pada Selasa.

Berikutan itu, pasukan polis terus memasuki premis berkenaan dan memberikan amaran serta memperkenalkan diri sebagai polis sebelum menahan dan menangkap suspek.

Beliau berkata semasa serbuan dilakukan, polis terpaksa menggunakan kekerasan minima kerana suspek tidak memberikan kerjasama semasa proses tangkapan dilakukan.

“Turut dirampas topi keledar hitam, topeng muka warna merah, beg kecil bertali, sebilah parang berhulu kayu panjang kira-kira 60cm dan sebatang pemutar skru berhulu hitam.

“Ujian saringan awal air kencing suspek didapati positif methampethamine serta pernah dihukum dalam tiga kes berkaitan salah guna dadah dan satu kes imigresen,” katanya.

Suspek kini ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan boleh juga dikenakan denda.

SUSPEK berjaya diberkas oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tawau.

POLIS terpaksa menggunakan kekerasan minima kerana suspek tidak memberikan kerjasama semasa proses tangkapan dilakukan. BARANGAN yang dirampas daripada suspek.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.