Siasatan APMM dapati dakwaan empat wanita Indonesia tidak benar

Utusan Borneo (Sabah) - - Muka Depan - ANUAR -Oleh AMIR

TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sudah menyiasat kes dakwaan empat wanita warga Indonesia yang mengatakan wang dan emas bernilai kira-kira RM30,000 (90 juta Rupiah) milik mereka belum dikembalikan.

Pengarah APMM Tawau Kapten Romli Mustapha berkata hasil siasatan mendapati kenyataan oleh keempat-empat wanita itu di sebuah akhbar tempatan negara jiran sebagai tidak benar dan kemungkinan wujud salah faham sesama wanita terbabit.

“APMM (Unit Siasatan dan pegawai penangkap) tidak pernah mengambil atau menerima barangan peribadi daripada mereka untuk disimpan,” katanya di sini pada Selasa.

Pihaknya sudah memanggil pegawai penyiasat dan pegawai penangkap dalam siasatan ringkas pada Isnin untuk memberikan penjelasan berkenaan isu terbabit.

Menurutnya, kedua-dua pihak mengatakan tidak ada sebarang barangan peribadi diambil daripada wanita berkenaan selama kes itu berjalan (di bawah kuasa APMM Tawau).

“Pemeriksaan peti keselamatan di bawah jagaan Unit Siasatan juga dibuat dan tidak ada ditemukan sebarang barangan yang dimiliki oleh wanita berkenaan,” katanya.

Beliau berkata semakan kertas siasatan juga mendapati tidak ada sebarang dokumen serah/terima dijumpai memandangkan tidak ada transaksi serah/terima berkaitan berlaku.

Romli berkata, semakan rakaman percakapan keempat-empat wanita itu ketika kes terdahulu berjalan juga mendapati mereka tidak ada menyatakan barangan peribadi.

“Ketika itu, wanita terbabit tidakadamenyatakanbarangan peribadi yang mereka miliki kecuali barangan untuk anak (Flaviana Tifa dan Juliana Peni) sahaja,” katanya.

Pada 10 November, akhbar tempatan negara jiran melaporkan kenyataan empat wanita Indonesia, Flaviana, Juliana, Linda Imani dan Astin Delima yang mengatakan barangan peribadi mereka belum dikembalikan selepas dihantar pulang ke negara itu.

Keempat-empat wanita itu dilaporkan ditahan (kerana melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63) oleh APMM Tawau pada 19 Ogos ketika hendak keluar dari negara ini menuju Nunukan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.