Mekanik didakwa peras ugut, cabul pembantu rumah

Utusan Borneo (Sabah) - - Tempatan -

KOTA KINABALU: Seorang mekanik didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa, atas pertuduhan memeras ugut dan mencabul kehormatan seorang pembantu rumah warga asing.

Sawal Muhimin, 49, yang tidak diwakili peguam bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Cindy Mc Juce Balitus.

Mengikut pertuduhan, tertuduh memeras ugut mangsa yang berusia 23 tahun, akan diserahkan ke Pusat Tahanan Sementara (PTS) jika tidak menyerahkan dua bentuk cincin emas.

Kesalahan dilakukan pada 9 Oktober di Jalan Kokol-Manggatal di sini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan, penjara selama tempoh 10 tahun, atau dengan denda, sebat atau mana-mana dua daripadanya.

Pada hari sama jam 8.30 malam di kawasan hutan Kampung Sinanggang, Manggatal, tertuduh menggunakan kekerasan jenayah mencabul mangsa.

Sekiranya disabitkan mengikut Seksyen 354 kanun sama, penjara maksimum sepuluh tahun atau dengan denda, atau sebat, atau dua daripadanya.

Mahkamah menetapkan pengurusan kes pada 29 November terhadap tertuduh, manakala tarikh perbicaraan pada 11 dan 12 Disember.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.