Permohonan lesen iklan perlu pengesahan DBP

Utusan Borneo (Sabah) - - Tempatan - Oleh JOHN TAMBANAN

KOTA KINABALU: Setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) wajar mensyaratkan bahawa permohonan lesen iklan perlu mendapat pengesahan daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) terlebih dahulu.

Pengarah DBP Cawangan Sabah Hajah Asmiah Haji Ajamain berkata, peraturan itu termaktub dalam Garis Panduan Pengiklanan PBT Negeri Sabah 2012 merupakan arahan terkini yang diedarkan sebagai panduan kepada PBT dalam memproses permohonan iklan di kawasan masing-masing

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Wacana Bahasa Iklan, bertempat di Hotel Tabung Haji, Sembulan di sini pada Selasa.

Majlis itu telah dirasmikan oleh Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Zakaria Haji Mohd Edris. Turut hadir, Ketua Bahagian Penguatkuasaan DBP Malaysia M Azhari Edin.

Asmiah berkata, seperti yang dimaklumkan sebelum ini, khidmat pengesahan bahasa itu dikenakan caj antara RM10 dan RM30, bergantung kepada jenis iklan dan PBT yang terlibat.

Katanya, caj yang dikenakan bukanlah bertujuan membebankan mana-mana pihak tetapi tindakan ini lebih kepada usaha memberikan nilai kepada Bahasa Melayu itu sendiri.

“Kami di Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah sentiasa bersedia untuk memberikan kerjasama penuh kepada mana-mana PBT dalam usaha meningkatkan pemahaman umum, lebih-lebih lagi terhadap peri pentingnya kita menguatkuasakan segala arahan, garis panduan mahupun undangundang berkaitan penggunaan bahasa dalam paparan awam ini.

“Harus diingat, langkah penguatkuasaan ini bukanlah bermakna kita mahu mencari kesalahan mana-mana pihak tetapi usaha kita ini lebih kepada memberikan nasihat dan bimbingan agar kita dapat membiasakan yang betul dan membetulkan yang biasa,” katanya.

Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 memperuntukkan bahawa Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan hendaklah digunakan sebagai bahasa rasmi dalam pentadbiran negara.

Bahasa yang digunakan di tempat awam seperti pada papan iklan, papan tanda dan premis perniagaan juga terangkum sebagai bahan yang digunakan dalam urusan rasmi.

Bertitik tolak daripada dasar itulah, sewajarnya bahasa yang digunakan di tempat awam ialah Bahasa Melayu yang betul dan tepat. Bagi memastikan usaha itu tercapai, DBP memainkan peranan penting dengan menawarkan khidmat nasihat kepada masyarakat berkenaan penggunaan bahasa kebangsaan dalam paparan awam.

Inisiatif DBP itu juga mendapat sokongan daripada kerajaan apabila tertubuhnya arahan dan garis panduan tertentu, misalnya Garis Panduan Papan Iklan Luar 2009 yang ada menyatakan; setiap papan iklan hendaklah dalam Bahasa Malaysia sama ada dengan sendirinya atau digunakan bersama manamana bahasa lain.

Menurut garis panduan itu juga, perkataan dalam Bahasa Malaysia hendaklah diberikan keutamaan dari segi saiz, warna dan kedudukan perkataan berbanding bahasa lain.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.