Mangsa kemalangan maut dikenalpasti

Utusan Borneo (Sabah) - - Tempatan - Oleh MOHD NAZIB MACPEE

LAHAD DATU: Susulan kemalangan yang mengorbankan dua mangsa kenderaan Perodua Alza dalam kejadian yang berlaku di kilometer 18 Jalan Lahad Datu-Sandakan, pagi Ahad, identiti mangsa terdiri seorang lelaki dan seorang wanita yang terbunuh dikenalpasti.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Hamzah Ahmad berkata, mangsa dikenali sebagai Janting @Edwin Gintik (pemandu) berusia 48 tahun dan beralamat di Kampung Langsat Kinarut, Papar manakala penumpangnya dikenali sebagai Chong Yem Ping, 34, beralamat di Kampung Gelam, Jalan Leila Sandakan.

Katanya, dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, kenderaan yang dinaiki mangsa dikatakan sedang dalam perjalanan dari arah Lahad Datu menuju ke Sandakan.

“Sebaik melalui lokasi kejadian, kenderaan Perodua Alza dipercayai telah hilang kawalan lalu masuk ke lorong bertentangan menyebabkan sebuah lori treler yang datang dari arah hadapan tidak sempat mengelak lalu bertembung dengan kenderaan yang dinaiki mangsa,

“Akibat daripada pelanggaran itu, kenderaan Perodua Alza diseret oleh lori berkenaan ke bahu jalanan sebelah kanan.

“Kedua-dua mangsa yang tersepit meninggal dunia di tempat kejadian sebelum berjaya dikeluarkan oleh pasukan Bomba dan Penyelamat Daerah Lahad Datu,” katanya sambil menambah, pemandu lori seorang lelaki berumur 43 tahun bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu.

Menurut Hamzah, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan dikendalikan oleh Pegawai Penyiasat Trafik Insp Mohamad Kemil Rahmat.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.