‘Masih ada tidak faham’

Hanya segelintir praktikkan Rukun Negara dalam kehidupan seharian

Utusan Borneo (Sabah) - - Nasional -

PUTRAJAYA: Masih ada lagi rakyat Malaysia yang dilihat tidak faham apa yang sebenarnya ingin disampaikan oleh Rukun Negara walaupun telah diperkenalkan sejak tahun 1970 lagi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Jospeh Kurup menyatakan demikian ketika berucap menyempurnakan Hari Bacaan Ikrar Rukun Negara di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 8 (2) di ibu negara pada Isnin.

Beliau berkata, hanya segelintir sahaja yang mempraktikkan Rukun Negara dalam kehidupan seharian dan yang lain tidak mengendahkannya kerana ia dianggap perkara remeh.

“Sejajar dengan usaha Program Bacaan Ikrar Rukun Negara yang diadakan pada hari ini, objektif yang hendak dicapai adalah meningkatkan pengertian dan kefahaman tentang kepentingan amalan lima prinsip Rukun Negara, memastikan Rukun Negara sebagai pegangan serta pedoman dalam menempuh hidup bermasyarakat dan sentiasa memelihara keharmonian antara kaum di negara ini,” katanya.

Menyedari pentingnya penghayatan Rukun Negara dimulakan di peringkat awal lagi, beliau berkata JPNIN telah menubuhkan Kelab Rukun Negara (KRN) di peringkat sekolah rendah dan menengah sebagai usaha meningkatkan serta mengukuhkan perpaduan berlandaskan Perlembagaan dan Rukun Negara.

“Sebanyak 3,979 KRN telah ditubuhkan di sekolah rendah dan 2,359 di sekolah menengah, menjadikan jumlah keseluruhan sehingga kini sebanyak 6,338 KRN telah ditubuhkan,” katanya.

Kurup menjelaskan matlamat utama penubuhan KRN adalah sebagai payung kepada pelbagai aktiviti yang dijalankan oleh persatuan dan kelab lain di sekolah tetapi, setiap aktiviti yang hendak dilaksanakan perlu berteraskan kepada pengukuhan Rukun Negara yang akan dapat meningkatkan pengetahuan, pemahaman, penghayatan dan pengamalan (4P) terhadap lima prinsip Rukun Negara dalam kalangan pelajar.

Pada tahun ini katanya, JPNIN telah menyediakan peruntukan sebanyak RM220,000 kepada 220 sekolah iaitu RM1,000 untuk setiap sekolah yang telah menghadiri dan melaksanakan modul berkenaan.

Hari Bacaan Ikrar Rukun Negara itu disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Dato Sri Mahdzir Khalid, Ketua Setiusaha Kementerian Pendidikan Dato Sri Alias Ahmad, Ketua Pengarah PendidikanMalaysiaDatukDr Amin Senin, Ketua Pengarah JPNIN Datuk Baharin Idris serta Penasihat Perpaduan dan Integrasi Nasional Datuk Heng Seai Kie.

KURUP menyampaikan replika cek berjumlah RM220,000 kepada Mahdzir untuk aktiviti KRN.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.