Lembaga Tenusu dan Ruminan Negara fokus lonjak industri susu, daging negara

Utusan Borneo (Sabah) - - Nasional -

LEMBAGA Tenusu dan Ruminan Negara berperanan membangunkan industri tenusu dan pedaging negara serta mempertingkat tahap ekonomi dan sosial golongan penternak ruminan tempatan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata lembaga itu akan memberi fokus kepada pengembangan industri berkenaan secara menyeluruh merangkumi aspek perancancangan, penyelarasan, khidmat nasihat dan keperluan pemasaran.

“Pengeluaran susu dan daging negara di tahap rendah dan banyak bergantung pada pengimportan di mana kadar sara diri pada 2016 adalah di tahap 23.04 peratus (daging lembu), 13 peratus (daging kambing) dan 3.60 peratus (susu cair dan produk susu).

“Justeru kita perlukan satu lembaga khusus yang mampu mengembangkan industri ini secara meluas bukan hanya dalam membangunkan industri tenusu negara malah membentuk kemampuan dan budaya masyarakat tempatan,” katanya.

Shabery menjawab soalan Datuk Seri Hasan Arifin (BN-Rompin) mengenai peranan utama Lembaga Tenusu dan Ruminan Negara dalam menjayakan industri tenusu negara pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, Selasa.

Ahmad Shabery berkata lembaga itu yang masih dalam peringkat perancangan juga akan membangunkan keseluruhan aspek perniagaan industri dengan meningkatkan pembangunan nilai tambah lain bagi industri berkenaan.

“Lembaga berkenaan akan menjamin kelestarian industri tenusu dan ruminan negara menerusi industri sokongan yang lain misalnya tanaman jagung sebagai makanan ternakan dan pengeluaran baja asli daripada tinja haiwan ternakan,” katanya.

Selain itu, pengembangan industri berkenaan akan memberi manfaat yang membentuk satu rantaian bagi pihak pengeluar, pengguna dan menjadi pendidikan kepada budaya pengambilan susu segar di kalangan masyarakat.

“Apabila industri penternakan itu berkembang, kita juga boleh meningkatkan program pemberian susu di sekolah yang sekali gus menambah permintaan susu segar dan menjadi asas pasaran negara.

“Hal ini juga perlu dilihat secara menyeluruh apabila permintaan itu sudah ada, ia akan dapat membantu pengeluar produk itu mendapat jaminan pasaran,” katanya.

Mengenai budaya dan pendidikan pengambilan susu segar, Ahmad Shabery berkata ia perlu dijadikan satu kemestiankeranapuratarakyat Malaysia yang meminum susu segar masih rendah.

“Purata rakyat kita yang meminum susu sekitar 20 liter setahun, ini tidak mencukupi. Di Eropah budaya mereka sekitar 120 liter setahun dan Jepun juga ubah gaya hidup dengan mengambil susu segar sehingga 50 liter setahun. - Bernama

SHABERY

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.