20 sekolah jayakan Karnival Bahasa Arab

Utusan Borneo (Sabah) - - Tempatan -

LABUAN: Sebanyak 17 sekolah rendah dan tiga buah sekolah menengah telah menjayakan Karnival Bahasa Arab dan Khatam Al-Quran peringkat Wilayah Persekutuan Labuan yang diadakan di Dewan Datuk Isli Sekolah Kebangsaan (SK) Pantai.

Majlis itu dirasmikan oleh Ketua Sektor Pengurusan Akademik Maimoon Haji Matnoh yang mewakili Pengarah Jabatan Pendidikan Labuan Raisin Saidin.

Turut hadir, Ketua Unit Pendidikan Islam Ustaz Mohd Syahir Mohd Yusoff, Guru Besar SK Pantai Mahani Hussin, Penolong Kanan Pentadbiran Faridah Amit, Penolong Kanan HEM Azlina Abdol Garip, Penolong Kanan Kokum Abdul Kahar Abdul Rahim dan Penolong Kanan Pendidikan Khas Halifah Salim.

Menurut Guru Besar SK Pantai Mahani Hussin, Karnival Bahasa Arab yang julung kali diadakan itu adalah cetusan idea Raisin yang bertujuan memupuk minat murid terhadap Bahasa Arab dan berusaha untuk menguasainya.

Katanya, melalui karnival itu, murid-murid dapat menguasai perbendaharaan kata serta kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis dengan baik dalam bahasa al-Quran, seterusnya dapat melonjakkan pencapaian mereka dalam peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) nanti. Malah diharapkan kemenjadian murid menguasai bahasa Arab menjadi realiti.

Pada majlis itu, turut diraikan murid-murid yang telah khatam al-Quran. Seramai 91 murid terlibat dalam majlis itu yang mewakili semua sekolah di WP Labuan.

Majlis diharap dapat memupuk kecintaan dan minat terhadap al-Quran yang merupakan salah satu agenda untuk menghidupkan syiar Islam di samping untuk memahirkan bacaan alQuran.

Sementara itu, Maimoon berkata penganjuran Majlis Khatam Al-Quran itu juga bukan sekadar untuk meraikan kejayaan anakanak menamatkan pengajian membaca al-Quran, tetapi apa yangpalingpentingialahmesej yang hendak disampaikan dan pengertiannya kepada kita.

“Penghayatan kepada isi kandungan ayat-ayat suci al-Quran juga akan memberi kita inspirasi dan galakan untuk lebih berusaha mendekatkan diri kepada ilahi dan menguasai segenap bidang ilmu pengetahuan.

“Ini kerana, al-Quran banyak mengajak dan menyeru manusia untuk menimba dan memartabatkan ketinggian ilmu dalam kehidupan,” katanya.

Beliau berkata penguasaan ilmu pengetahuan merupakan teras bagi membentuk bangsa yang cemerlang dan berjaya yang didasari oleh jati diri dengan ketinggian akhlak dan budi.

Katanya insan yang berilmu seperti akan dapat menguasai dan menguruskan alam, memanfaatkan segala nikmat kurniaan-Nya untuk kesejahteraan ummah.

“Sesungguhnya, modal insan cemerlang yang diperlukan oleh negara pada masa hadapan ialah mereka yang mempunyai pengetahuan yang tinggi, berpegang teguh kepada agama, berkemahiran, inovatif, memiliki jati diri, beretika serta mempunyai minda kelas pertama,” katanya.

Tambahnya mereka bukan sahaja penting kepada pembangunan negara, malah memainkan peranan yang penting bagi menjamin kesejahteraan dan perpaduan rakyat serta meningkatkan daya saing negara di peringkat global.

USTAZAH Faridah Abd Rahman (kiri) dari SK Pekan Dua menerangkan mengenai inovasi Hubagam kepada Maimoon (dua kiri), Mohd Syahir dan Mahani.

PESERTA lelaki bergambar kenangan bersama Maimoon (empat kanan), Mohd Syahir (dua dari kiri) dan Mahani (tiga kanan)

MAIMOON (empat kanan), Mohd Syahir (tiga kiri) dan Mahani (tiga kanan) bersama peserta perempuan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.