10,000 meriahkan Karnival Iski Hantap 2017

Utusan Borneo (Sabah) - - Tempatan -

LABUAN: Lebih 10,000 orang hadir di Karnival Iski Hantap 2017 anjuran Jabatan Penyiaran Labuan dengan kerjasama Kelab Kebajikan dan Sukan RTM Labuan.

Karnival yang mendapat sambutan menggalakkan itu telah berlangsung selama empat hari di kawasan parkir Arena Boling Padang, Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan, Tanjung Purun.

Menurut Pengerusi Penganjur Wahidah Abdullah, program itu bertujuan mendekatkan masyarakat dengan warga RTM Labuan di samping dapat berinteraksi dengan penyampai radio dengan mengikuti acara yang telah disusun atur.

Katanya, ia diharap terus mendapat sokongan daripada masyarakat serta agensi berkaitan dan menjadikannya sebagai program berskala besar untuk acara tahunan.

Majlis penutupan telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli.

Beliau turut mengalualukan kepada mana-mana agensi untuk menganjurkan program sedemikian.

“Program ini dapat mewujudkan peluang kepada peniaga menjana pendapatan dan seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi penduduk setempat,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Penyiaran Labuan Rohani Harithuddin amat berpuas hati dengan sambutan yang amat menggalakkan daripada pengunjung di samping dapat mengikuti acara-acara yang dijalankan.

Beliau berharap program sedemikian dapat diteruskan pada masa akan datang.

Acara pentas utama yang diadakan adalah seperti Pertandingan Bintang KLMJ (Kenangan Lalu Mengusik Jiwa), Pertandingan Suara Bintang Klasik dan Konsert KLMJ yang menampilkan artis veteran iaitu J.Mizan, Maria Bachok, Junainah M.Amin, A.Razak Ismail, Datuk Andre Goh, Jatt (Black Dog Bone) dan Fredo (Flybaits).

Dalam pertandingan Bintang KLMJ, johan dimenangi oleh Sutinah Ali dengan tajuk lagu Aku Dalam Teka Teki untuk menerima hadiah RM500 setelah menewaskan 10 peserta lain. Naib johan Hamizah Lamudin (Aku Hanya Pendatang) menerima RM300 dan tempat ketiga Rosli Omar (Ratu ku) menerima RM200.

Manakala Alimah Bidin muncul johan Pertandingan Suara Bintang Klasik dengan membawa lagu bertajuk Mengapa Dirindu, naib johan Taib Daud (Fatwa Pujangga) dan tempat ketiga Bungsu Maarof (Lembaran terakhir). Mereka masingmasing menerima hadiah wang tunai RM300, RM200 dan RM100.

Sempena karnival itu, penganjur turut menyampaikan sumbangan pelbagai agensi berupa makanan dan keperluan harian kepada empat badan kebajikan iaitu PDK Taman Mutiara, PDK Jalan Tenaga, Pusat Autisme Labuan dan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Labuan.

Ia disumbangkan oleh pelbagai agensi kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan dan individu. Simbolik penyerahan telah disempurnakan oleh Rozman.

Acara sampingan yang telah diadakan adalah pertandingan kucing berhias, pertandingan mewarna lima kategori, solekan kesan khas, xplorace, karaoke, Teratak DJ, santai bersama artis, senamrobik serta gerai pameran dan jualan.

Turut diadakan pertandingan kucing berhias anjuran Jabatan Veterinar Labuan dengan kerjasama RTM Labuan yang dimenangi Murnie Kahar, naib johan Benga Leunadus dan ketiga Mohd Rahmat Adam.

Kumpulan Tom Riders muncul johan Xplorace anjuran RTM Labuan dan menerima RM800, kedua The Runners (RM500) dan ketiga Thursday (RM300).

ROHANI (sembilan kiri) dan artis veteran bersama warga kerja RTM Labuan yang menjayakan Karnival Iski Hantap 2017.

PEMENANG Pertandingan Bintang KLMJ.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.