ARC anjur ‘Mini Gathering’ di Pantai Tg Aru

Utusan Borneo (Sabah) - - Rencana -

KOTA KINABALU: AlternativeRidingClub(ARC) Sabah telah menganjurkan ‘Mini Gathering’ bersama beberapa kelab motosikal lain bersempena program Jelajah Hijau Dewan Pemuda Pas Malaysia diadakan di negeri ini.

Program yang diadakan di Pantai Tanjung Aru itu disertai 80 orang mewakili kelab Renegade Rider The League, Y15 KK Crew, LC Community Crew serta wakil dari ARC Putatan, ARC Sepanggar, ARC Keningau dan ARC Kota Belud.

Pelbagai aktiviti santai dan menarik telah disusun oleh penganjur seperti cabutan bertuah, BBQ, sukaneka sepak raga bulatan, permainan dadu gergasi dan pertandingan lumba motosikal perlahan termasuk solat Asar secara berjemaah yang diimamkan oleh Ketua Dewan Pemuda Pas Negeri Sabah Ustaz Zulzaim.

Timbalan Ketua Dewan Pemuda Parti Islam SeMalaysia (Pas) Malaysia Ir Hj Khairil Khirudin dalam ucapan ringkasnya semasa merasmikan program itu menekankan bahawa Pas berdiri di atas tiga sendi utama, iaitu dakwah, tarbiyah dan politik.

Katanya program itu adalah salah satu program dakwah yang merupakan antara medium pemuda Pas mendidik anak-anak muda khususnya mat motor untuk memahami ajaran Islam yang syumul, mendekatkan diri kepada Allah dan menjalinkan ukhuwah Islamiyah sesama peserta.

“ARC adalah merupakan kelab permotoran yang bernaung di bawah Dewan Pemuda Pas. Dalam program yang dianjurkan, kita mewajibkan solat berjemaah dan lima minit pengisian ilmu seperti tazkirah ringkas berkenaan fardhu ain serta pengetahuan asas tentang ibadah.

“Contohnya, berkenaan tatacara mengambil wudhu’ dengan betul serta cara melaksanakan solat jamak dan qasar,” katanya.

Program yang bermula pada jam 2 hingga 5.30 petang itu disudahi dengan majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang bagi setiap acara sukaneka dan bacaan doa penutup yang dipimpin oleh Pengarah ARC Sabah Asrul.

PARA peserta merakamakan gambar kenanagan pada program itu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.