Jalin semangat muhibah

Lawatan integrasi KRT Yan ke KRT Sembulan Baru/ Taman Sempelang

Utusan Borneo (Sabah) - - Tempatan - JEJAK PERPADUAN

KOTA KINABALU: Kunjungan seramai 40 orang terdiri ahli jawatankuasa (AJK) KRT Daerah Yan, Kedah melawat muhibah ke KRT Sembulan Baru/ Taman Sempelang, malam Sabtu.

Ketibaan rombongan yang diketuai Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Kedah, Rohai Zahar Nedi disambut mesra oleh Pengerusi KRT Sembulan Baru/Taman Sempelang Lasamboy Ponisi bersama AJKnya diiringi pukulan kulintangan Jiran Muda KRT.

Rombongan yang terdiri daripada AJK Jiran Wanita, Jiran Usia Emas, Jiran Muda, Tunas Jiran dan Skuad Uniti itu kemudiannya diraikan dalam Majlis Ramah Mesra Perpaduan yang diadakan di Pusat Rukun Tetangga Sembulan Baru/Taman Sempelang.

Program itu membolehkan para peserta rombongan bertukar-tukar pandangan, idea, berkongsi pengalaman dan pengetahuan demi untuk kebaikan bersama.

Rohai dalam ucapannya melahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada JPNIN Negeri Sabah amnya dan KRT Sembulan Baru/ Taman Sempelang khasnya atas kesudian mengaturkan program yang amat meriah itu.

“Kunjungan ini dapat merapatkan lagi hubungan silaturahim, mengukuhkan perpaduan dan keharmonian antara satu sama lain supaya terus berkekalan,” katanya.

Beliauberharappengalaman dan cerita menarik sepanjang program lawatan integrasi nasional ke negeri Sabah itu akan dapat dikongsi dengan rakan-rakan apabila balik ke tempat masing-masing.

Sementara itu, Timbalan Pengarah JPNIN Negeri Sabah Anas Imran Abd. Aziz berkata program itu sangat bermakna dan amat dialu-alukan dalam mereka memperkukuhkan semangat perpaduan dan integrasi nasional di peringkat akar umbi.

“Lawatan integrasi ini satu usaha yang baik dalam mempertingkatkan hubungan perpaduan dan secara tidak langsung dapat mendedahkan para peserta dengan kepelbagaian budaya dan adat resam masyarakat pelbagai kaum di negeri ini,” katanya.

Majlis ramah mesra malam itu dimeriahkan dengan acara persembahan tarian igaligal oleh guru dan murid Tabika Perpaduan Sembulan Lama, persembahan pukulan kulintangan Jiran Muda KRT Sembulan Baru/Taman Sempelang selain para tetamu diajak untuk menari bersama tarian manuk-manuk lambukun, sumazau dan poco-poco.

Majlis itu turut dihadiri Pegawai Perpaduan Daerah Bandaraya Kota Kinabalu Normalawati Haji Hassim, Pegawai Perpaduan Negeri Kedah Mohd Fakhzan Nasir, Pengerusi Jawatankuasa Kemasyarakatan Dalam Bandar (JKDB) Taman Sempelang Haji Kiran Settu,

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sembulan Baru, Haji Ismail Aman dan Pengerusi KRT Kg Tanjung Aru Lama Haji Adnan Jalil.

“Kunjungan ini dapat merapatkan lagi hubungan silaturahim, mengukuhkan perpaduan dan keharmonian antara satu sama lain supaya terus berkekalan.

ROHAI ZAHAR NEDI Pengarah JPNIN Negeri Kedah

PESERTA rombongan merakam kenangan bersama AJK KRT Sembulan Baru dan para jemputan.

ANAS (tiga kiri) menyampaikan cenderahati kepada Rohai.

JIRAN Muda KRT mempersembahkan pukulan kulintangan.

ANAS berucap di majlis itu.

ROHAI menyampaikan ucapan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.