SMK Lajau iktiraf kejayaan pelajar

Utusan Borneo (Sabah) - - Tempatan -

LABUAN: Majlis Konvokesyen dan Anugerah Kecemerlangan SMK Lajau 2017 merupakan majlis untuk meraikan pelajar yang telah mengharumkan nama sekolah dalam pencapaian akademik, hal ehwal pelajar dan kokurikulum.

Pengetua SMK Lajau Mohd Jamatin Abd Latip berkata hari berkenaan merupakan kemuncak kepada usaha yang dilakukan untuk menuai hasil yang selalu diimpikan iaitu kecemerlangan.

Katanya, dalam konteks pendidikan, fungsi utama sekolah ialah bagi memupuk pembelajaran.

Beliau berkata dengan persekitaran pendidikan yang sentiasa berubah dan terdedah kepada penambahbaikan, proses pembelajaran tidak lagi tertumpu kepada akses pengetahuan semata-mata, bahkan lebih menjurus kepada proses persediaan menghadapi cabaran yang berbeza pada masa hadapan.

“Sebagai pengetua, saya akan sentiasa memastikan hala tuju sekolah ini jelas dan segala bentuk perancangan dan pelaksanaan program pendidikan yang ada sentiasa akur dengan keperluan yang disebutkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Konvokesyen dan Anugerah Kecemerlangan Sekolah SMK Lajau 2017, yang diadakan di Dewan SMK Pantai. Majlis itu dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Labuan Raisin Saidin.

Jamatin berkata, pada hakikatnya apa jua projek naik taraf kemudahan fizikal sekolah akan dipulangkan kepada pelajar supaya dapat menikmati peluang pembelajaran yang terbaik.

“Justeru, saya merayu ibu bapa tidak akan berasa jemu untukmenghulurkansokongan seumpama itu tanpa berbelah bahagi secara berterusan dan konsisten,”katanya.

Beliau berharap murid yang bergraduat dan penerima hadiah akan meneruskan kecemerlangan pada masa akan datang.

Katanya, nilai kebendaan hadiah dan sijil bukanlah menjadi ukuran namun ini adalah pengiktirafan yang begitu bermakna dalam hidup pelajar.

Sementara itu, dalam ucapannya, Raisin berkata majlis itu dapat dilaksanakan atas iltizam yang telah dipamerkan oleh pengetua dengan komitmen yang diberikan oleh guru-guru dan pelajar.

Beliau berkata sewajarnya mereka harus meraikan kejayaan pelajar yang telah berusaha bertungkus lumus mencapai kejayaan dalam apa jua bidang yang diceburi.

“Semoga majlis pada hari ini menjadi peristiwa bersejarah dan menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk bersaing bagi mencapai kecemerlangan,” katanya.

Katanya detik bersejarah itu merupakan puncak kejayaan garapan kecemerlangan sekolah, setelah bertungkus lumus menyemai usaha dan kini detiknya untuk para pelajar menuai kejayaan.

Beliau percaya kejayaan yang diperoleh oleh pelajar adalah simbol kejayaan sistem persekolahan dan pendidikan itu sendiri hasil kerjasama mantap antara barisan pentadbir, guru-guru dan pelajar.

“Dengan sokongan dan komitmen yang padu daripada guru dan ibu bapa, SMK Lajau telah berjaya melahirkan ramai pelajar yang berwibawa dan berketrampilan di sekolah ini,” katanya.

Beliau menyeru supaya guru, ibu bapa dan pelajar sentiasa saling menghormati, mengamalkan nilai-nilai murni ini yang secara langsung akan membentuk sahsiah dan disiplin yang baik dalam kalangan warga SMK Lajau.

Turut hadir pada majlis itu ialah Naib Yang Dipertua PIBG Sarina Saari, Pegawai Perhubungan PDRM Sjn Saidatul Nabila Huda Anuar, Pegawai SIP+ Yusuf Mohamad, Pengetua SMK MutiaraLorenAbon,Pengetua SMK Taman Perumahan Bedaun Hajah Jijah Mohamad Suhai, Penolong Kanan Pentadbiran SMK Lajau Nor Ain Mohamad dan PK 1 SMK Pantai Norhaznita Mohd Nor.

RAISIN (tengah), Jamatin (kanan Raisin) dan Yusuf Mohamad bergambar kenangan bersama jemputan, guru dan pelajar yang diraikan.

RAISIN (lima kiri) dan Jamatin (empat kanan) bersama tetamu jemputan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.