Borneo Talent Awards 2017 cipta rekod penyertaan terbanyak

Utusan Borneo (Sabah) - - Hiburan -

PENGANJURAN Borneo Talent Awards (BTA) 2017 berjaya mencipta rekod jumlah penyertaan paling banyak di mana sebanyak 54 penyertaan bakal berentap di pentas separuh akhir pada 24 November ini.

Menurut Pengerusi Penganjur Kaunselor Wong Hie Ping, Kuching mencatat penyertaan paling banyak iaitu 13, diikuti Sibu sebanyak 12, Miri dan Kota Kinabalu masing-masing 10 dan Bintulu sembilan penyertaan.

“BTA telah memasuki tahun ketujuh, dan penganjuran tahun ini adalah paling banyak penyertaannya untuk pentas separuh akhir yang akan berlangsung di Dewan Suarah Sibu,” katanya kepada pemberita ketika dihubungi kelmarin.

Wong menambah, saingan separuh akhir akan bermula jam 5 petang.

“Pada mulanya, kami mahu bermula pada jam 7 malam, tetapi mustahil untuk berbuat demikian kerana jumlah penyertaan yang ramai,” katanya.

Peserta akan dihakimi oleh hakim dari Sibu, Kuching, Miri, Bintulu dan Sabah, dan seorang dari China, katanya lagi.

Di samping itu, beliau berkata BTA juga membantu menarik pelancong untuk datang ke Sibu.

Jelasnya, peserta yang menyertai BTA sudah semestinya akan membawa ahli keluarga dan rakan mereka ke Sibu bagi menyaksikan acara tersebut.

“Malah, mungkin kebanyakan daripada mereka kali pertama datang ke Sibu. Semasa sesi uji bakat di Kuching, peserta bukan hanya dari warga Kuching itu sendiri, tetapi turut datang dari Semenanjung Malaysia seperti Kuala Lumpur dan Pulau Pinang yang turut menempah tiket ke separuh akhir.

“Jadi ini akan menjadi kali pertama mereka ke Sibu dan juga (peserta) dari Sabah, ramai yang tidak pernah ke Sibu. Agak mengejutkan juga bagi bahagian berdekatan seperti Kuching dan Miri - terdapat juga yang tidak pernah ke Sibu sebelum ini.

“Saya berasa sangat gembira dengan penganjuran program ini yang dapat menarik pelancong datang ke Sibu,” katanya.

Sementara itu, pentas akhir akan berlangsung pada 25 November di Dewan Suarah Sibu.

KR WONG HIE PING

SEMOGA BERJAYA: The Amazing X merupakan salah satu kumpulan yang berjaya mara ke peringkat separuh akhir BTA 2017.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.