28 kampung di Bau tiada bekalan air terawat

Bau hanya 35km dari Bandaraya Kuching namun penduduknya masih tidak menikmati kemudahan asas ini

Utusan Borneo (Sabah) - - Iklaneka -

KUCHING: Kerajaan perlu menangani segera masalah isu bekalan air terawat yang masih membelenggu segelintir penduduk di Bau dalam kawasan N.2 Tasik Biru.

Datuk Henry Harry Jinep (BN-Tasik Biru) berkata, Bau hanya terletak 35 kilometer (km) jauh dari Bandaraya Kuching namun penduduknya masih tidak menikmati kemudahan asas ini.

Sebagai makluman katanya, masih terdapat 28 kampung dalam kawasan ini tanpa bekalan air terawat yang mana amat kritikal dan perlu pertimbangan segera pemimpin negeri.

“Isu masalah air di Bau sangat kritikal berikutan peningkatan populasi di Bau sekali gus meningkatkan permintaan terhadap bekalan air terawat.

“Peruntukan RM40 juta diperlukan bagi meletakkan paip utama baharu dari Loji Rawatan Batu Kitang untuk membolehkan 20 juta liter sehari dihantar ke Bau.

“Projek ini sudah pasti akan menjadi penyelesaian kepada gangguan bekalan air bersih terawat ke rumah, premis perniagaan dan sebagainya,” katanya.

Henry berkata demikian dalam ucapan perbahasannya ke atas Usul Rang Undang-Undang Perbekalan (2018), 2017 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Isnin.

Selain masalah air, Henry turut menarik perhatian dewan berhubung Taman Perindustrian Ringan Bau yang telah diluluskan dengan kos RM30.2 juta dengan cadangan saiz 50 ekar yang telah dinyatakan pada persidangan 25 November 2016.

Henry percaya menerusi pembangunan seperti ini, Bau tidak akan ketinggalan dalam strategi perindustrian negeri yang sudah pasti akan memberi manfaat kepada pemain industri kecil dan sederhana di kawasan ini.

Perkara lain yang turut disentuh Henry termasuk skim pembesaran kampung yang sepatutnya turut meliputi Kampung Melayu dan Kampung Buso di Bau.

Dua kampung ini katanya, adalah antara kampung terawal di Bau dengan keluarga yang semakin berkembang dan menyebabkan kawasan sedia ada sesak.

“Saya percaya dua kampung ini akan mendapat manfaat daripada skim pembesaran kampung ini, paling tidak untuk kehidupan yang lebih selamat, moden dan selesa,” katanya.

“Isu masalah air di Bau sangat kritikal berikutan peningkatan populasi di Bau sekali gus meningkatkan permintaan terhadap bekalan air terawat. Peruntukan RM40 juta diperlukan bagi meletakkan paip utama baharu dari Loji Rawatan Batu Kitang untuk membolehkan 20 ” juta liter sehari dihantar ke Bau. DATUK HENRY HARRY JINEP Adun Tasik Biru

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.