Bahagian dinding Empangan Bengoh sedang ditampal

Utusan Borneo (Sabah) - - Iklaneka -

KUCHING: Penurunan paras air di Empangan Bengoh sedang dilakukan untuk menjalankan kerja menampal bahagian dinding empangan yang didapati berlaku lelehan air, sejak dua bulan lalu.

Menurut Menteri Utiliti Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, paras air empangan tersebut akan diturunkan daripada paras 77.6 meter kepada 65 meter untuk membolehkan kerja penampalan dilakukan.

“Sekarang, kontraktor perlahanlahan melakukannya kerana mereka perlu menurunkan paras air untuk membuat pembaikan,” katanya pada sidang media di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, pada Isnin yang turut dihadiri Menteri Muda Bekalan Air Datuk Liwan Lagang dan Menteri Muda Elektrik Luar Bandar Dr Abdul Rahman Junaidi.

Bagaimanapun, Dr Rundi menegaskan bahawa lelehan yang berlaku di bahagian bawah dinding empangan adalah tidak berkaitan dengan integriti struktur empangan di mana berdasarkan laporan daripada pakar perunding reka bentuk dan kontraktor, struktur Empangan Bengoh adalah dijamin kukuh dan stabil.

“Adalah normal untuk struktur konkrit mengalami lelehan air selepas beberapa tempoh tetapi ia boleh ditampal. Ini tidak akan menjejaskan keseluruhan struktur empangan kerana pihak kontraktor juga menjalankan pemantauan dan sebagainya untuk memastikan empangan sentiasa kukuh dan selamat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa penurunan paras air empangan baru-baru ini adalah selaras dengan prosedur operasi seperti yang dinasihatkan oleh pakar empangan.

“Ia adalah penurunan paras air yang dirancang dengan melepaskan air melalui saluran ‘culvert’ dan bukan disebabkan sebarang masalah atau kebocoran empangan. Oleh yang demikian, keselamatan dan integriti empangan ini tidak terjejas,” katanya.

Dr Rundi menambah, perkara itu disahkan oleh pakar perunding empangan daripada Halcrow Consultant, United Kingdom (UK) semasa lawatan pemeriksaan berkala di tapak empangan pada akhir Oktober lalu.

Sementara itu, beliau berkata bagi pembinaan konkrit empangan, sendi (movement joints) empangan direka bentuk untuk membenarkan proses pengembangan dan pengecutan akibat perubahan suhu dalam struktur empangan.

“Pengaliran atau lelehan air melalui ‘movement joints’ ini adalah dijangka. Apa yang kelihatan di tapak adalah ‘contraction joint’ yang direka bentuk dan bukannya ‘keretakan’ seperti yang didakwa,” katanya.

Rundi juga berkata berdasarkan kepada prosedur operasi standard (SOP) bagi empangan-empangan yang dibina di seluruh dunia, Pelan Tindakan Kecemasan (PTK) disediakan untuk Empangan Bengoh.

Justeru, katanya bagi situasi kecemasan yang di luar jangkaan, pihak-pihak berkenaan termasuk penduduk yang terlibat akan dimaklumkan serta-merta dan pelan pemindahan akan dijalankan.

Sehubungan itu, beliau berkata pemasangan siren dirancang di kampung-kampung yang terletak di hilir empangan termasuk mengenal pasti kawasan yang selamat untuk pusat pemindahan penduduk.

Dalam pada itu, Dr Rundi berkata pemantauan berkala terhadap pergerakan struktur empangan juga dilakukan untuk memastikan keselamatan dilakukan sejak peringkat awal pembinaan dan diteruskan mengikut SOP empangan.

Terdahulu, beliau berkata reka bentuk dan pembinaan Empangan Bengoh adalah melibatkan sumbangan daripada pakar pembinaan empangan antarabangsa yang berpengalaman dari United Kingdom dan pakar kontraktor empangan dari China yang membina lebih daripada 200 empangan di seluruh dunia, bersama kontraktor tempatan yang berkaliber, Naim Land Sdn Bhd.

Reka bentuk serta pembinaan empangan tersebut juga disemak oleh pakar empangan yang berkecuali di Australia.

Empangan Bengoh yang mula dibina pada 2007 dan siap pada penghujung 2010 dengan kos RM310 juta adalah untuk menampung keperluan air bersih kepada hampir dua juta pengguna di sekitar bandar raya Kuching menjelang 2030.

Empangan ini juga mampu membekalkan 130 juta mililiter tambahan air mentah kepada Loji Rawatan Air Batu Kitang sebelum disalur kepada pengguna sekitar bahagian Kuching.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.