Saya akan kembali lebih kuat berbanding selama ini: Evra

Utusan Borneo (Sabah) - - Sukan -

PARIS: Patrice Evra berjanji untuk kembali “lebih kuat berbanding selama ini” dalam mesej terbuka pertamanya sejak dia meninggalkan Marseille dan digantung daripada bola sepak Eropah sepanjang musim kerana melakukan tendangan ‘kung-fu’ ke atas seorang penyokong kelab.

Evra, yang diarah meninggalkan padang selepas dia menyerang penyokong Marseille itu sebelum kekalahan 1-0 oleh kelab Ligue 1 itu dalam Liga Europa kepada Vitoria Guimaraes pada 2 November lepas, membuat janji itu ketika dia menarik sebuah Jeep dalam satu paparan lucu dalam Instagram yang dirakamkan di Dubai oleh bekas penyerang Arsenal dan Chelsea, Nicolas Anelka, yang Evra gelar ‘Spielberg’ dalam paparan itu.

“Saya sumpah kepada Tuhan, saya akan kembali lebih kuat berbanding selama ini,” kata bekas pemain pertahanan kiri Perancis dan Manchester United itu.

“Kadang-kadang dalam hidup, kita boleh rasa amat berat tetapi kita mesti sentiasa senyum selalu, dan sudah tentulah sentiasa menyayangi sukan ini.”

Penggantungan pemain berusia 36 tahun itu hanya diguna-pakai kepada pertandingan kelab UEFA, yang bermakna dia masih dapat bermain dalam liga domestik jika ada kelab yang menghubunginya.

Evra, yang sudah memenangi liga kejuaraan Liga Perdana Inggeris, dia kejohanan Serie A dan Liga Juara-Juara, berpisah dengan Marseille pada Sabtu lepas hampir serta-merta selepas dia digantung daripada pertandingan di Eropah dan didenda sebanyak 10,000 euro (RM48,000).

Evra bertindak balas kepada sekumpulan penyokong yang telah turun ke tepi padang untuk memakinya bagi apa yang mereka anggap sebagai persembahan bawah prestasi di pantai selatan Perancis.

Pada Ahad lepas penjaga gol Marseille Steve Mandanda menyokong bekas rakan sepasukannya, dan berkata Evra adalah seorang “rakan sejati dan seorang lelaki baik” manakala jurulatih Perancis Didier Deschamps menganggap hukumannya sebagai “berat”.

Pemilik kelab itu dari Amerika Syarikat Frank McCourt menyalahkan pemain dan penyokong terbabit bagi insiden itu, yang disifatkannya sebagai “kelakuan tidak dapat diterima” dan “bukan sesuatu yang kita boleh biarkan di Marseille”.

Pemecatan Evra dari Marseille juga berlaku selepas penyokong membentangkan sepanduk besar sebelum perlawanan mereka di stadium sendiri menentang Caen pada minggu lepas yang menyebut: “Kami tidak mahu anda memakai jersi kami lagi. Evra berambus.” — AFP

— Gambar AFP

EVRA (belakang kiri) dirakam menendang penyokong Marseille sebelum sepak mula perlawanan Liga Europa di antara Vitoria SC dan Marseille di Stadium D. Afonso Henriques in Guimaraes pada 2 November lepas.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.