Suasana damai Sungai Nanamun, kaya flora dan fauna

Kaya flora dan fauna, tarik perhatian ratusan pelancong saban hari

Utusan Borneo (Sabah) - - Muka Depan -

TIDAK dapat dinafikan Kota Belud kini adalah destinasi ‘wajib kunjung’ pelancong, apatah lagi kebanyakan pelancong yang datang adalah dari kalangan mereka yang ingin menikmati dan menghayati suasana baru yang belum pernah mereka alami.

Dalam konteks ini, Sungai Nanamun adalah salah satu lokasi yang amat sesuai dengan kehendak mereka kerana sungai itu kaya dengan flora dan fauna yang menarik perhatian ratusan pelancong saban hari, kebanyakannya datang dari negara Korea dan China, selain pelancong domestik.

Sungai Nanamun begitu kaya dengan pemandangan yang cantik dan segar. Selain dipagari dengan hutan bakau di sepanjang sungai yang dihuni oleh monyet, monyet belanda (proboscis monkey), kelip-kelip dan pelbagai jenis unggas. Malahan, hidupan

seperti ketam, kerang-kerangan, siput dan ikan air payau banyak terdapat di sini, yang turut memperkayakan lagi ekosistem sungai yang baru sahaja diteroka oleh beberapa agensi pelancongan sebagai destinasi baharu.

Pembukaan banyak jeti pelancongan di sepanjang tebing Sungai Nanamun telah memberi faedah bagi penduduk setempat apabila peluang pekerjaan untuk mereka terbuka luas, terutama bagi golongan belia yang selama ini gagal mencari ruang pekerjaan di bandar-bandar.

“Ini perkembangan yang positif,” ujar Yuslan Jaim, 39, penduduk Nanamun yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan di daerah ini.

“Sebab sektor ekopelancongan memberi pulangan yang baik kepada segelintir penduduk di sini juga di kampung-kampung berdekatan,” tambahnya.

Menurut Yuslan, perusahaan membuat kayu api berasaskan bakau merupakan perusahaan tradisi bagi sebahagian penduduk di

Tapukan dan Rampayan Laut, yang kemudian dijual secara borong kepada para peraih yang membelinya terus dari para pengusaha.

Walaubagaimanapun menurut Yuslan, penebangan kayu bakau tidak dibuat secara sewenang-wenangnya kerana pengusaha terpaksa mengikut spesifikasi yang dibenarkan oleh Pejabat Perhutanan Daerah dengan ukuran tertentu agar hutan bakau tetap terpelihara.

“Buktinya sekarang, tempat ini menjadi tumpuan pelancong kerana hutan bakau dan kehidupannya masih lestari. Penebangan bakau sangat terkawal, kerana

penduduk sedar bahawa jika mereka tidak menjaga ekosistem di sini, maka tiada tempat lain untuk mereka mencari rezeki,” jelasnya. Ketika penulis menyertai kumpulan pelancong dari China sekitar 30 orang berkeliling di Sungai Nanamun dengan bot salah satu operator pelancongan di situ, ternyata pertautan antara manusia dengan alam menimbulkan suasana yang mendamaikan.

Nelayan-nelayan duduk di perahu kecil mereka menunggu pukat menjaring ikan dan menanti masa mengangkat bintur yang berumpan ikan kerisi menangkap ketam bakau. Para pelancong yang melihat susana eksklusif itu segera merakamkan momen itu menggunakan kamera atau telefon pintar mereka.

“Saya percaya para pelancong pasti teruja dengan pemandangan kami di perahu menunggu bintur memerangkap ketam, kerana ia adalah salah satu keindahan suasana yang asli,” jelas nelayan sungai di Kg Tapukan, Datu Abidin Musipar, 44, sambil tersenyum.

Katanya kehadiran pelancong di Sungai Nanamun mampu memperkenalkan tempat mereka kepada dunia luar sebagai sebuah tempat pelancongan berasaskan alam semulajadi, sebaris dengan tempat pelancongan lain seperti di Weston, Beaufort.

Meskipun demikian katanya, terdapat pemandu bot yang tidak menghiraukan keselamatan para nelayan sungai yang menggunakan perahu kecil apabila mereka memandu bot membawa pelancong dengan laju.

“Kejadian bot kecil terbalik telah beberapa kali berlaku, pukat dan bintur kami diredah begitu sahaja oleh para pemandu bot pelancong menyebabkan peralatan kami rosak. Keadaan ini amat menyedihkan para nelayan sungai di sini,” ujar Datu Abidin.

Katanya, untuk kebaikan bersama, para operator pelancongan harus mengambil pendekatan dengan memantau pemandu bot demi keselamatan nelayan sungai dan keselamatan pelancong yang mereka bawa, kerana semua itu memberi nilai sama ada buruk atau baik bagi sektor tersebut.

“Kita sentiasa mengalualukan kehadiran pelancong di sungai ini, justeru kita berharap agar ada satu ikatan antara operator pelancongan dan para penduduk bagi menjayakan sektor pelancongan membangun dengan pesat di sini.

“Kita mahukan sektor pelancongan terus bertapak di sini kerana pada masa hadapan banyak lagi yang mampu kita lakukan untuk memperbaikinya, namun kelestarian alam sekitar dan keselamatan perlu juga diambil kira,” tegasnya.

BOT-BOT sedia menanti pelancong. NELAYAN sungai menunggu tangkapan. YUSLAN DATU ABIDIN BOT membawa pelancong menyusuri Sungai Nanamun. GELAGAT pelancong menyaksikan telatah monyet di satu hentian.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.