Alat bom ikan dirampas

Ops Khas APMM di perairan Kota Belud

Utusan Borneo (Sabah) - - Tempatan - Oleh SITI AISYAH NARUDIN

KOTA KINABALU: Lebih 50 peralatan dipercayai untuk kegiatan bom ikan dirampas dalam Ops Khas yang dijalankan oleh Agensi Penguatkuasaa Maritim Malaysia (APMM) di sini.

Pengarah Maritim Wilayah Sabah dan Labuan Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, kesemua peralatan terbabit ditemukan di dalam lima pam bot di perairan Pulau Mantanani Kecil Kota Belud.

Katanya, seramai tujuh individu dipercayai warga Filipina berumur dalam lingkungan 18 hingga 45 tahun turut ditangkap kirakira jam 2.30 pagi Selasa.

“Antara peralatan yang dirampas dalam operasi ini termasuklah alat peledak dan botol-botol yang berisi baja amonia.

“Kita hanya memperoleh sebanyak lapan alat peledak dan dipercayai banyak lagi dibuang ke laut.

“Kesemua suspek yang ditangkap didapati tidak mempunyai dokumen pengenalan diri,” katanya pada sidang media di sini pada Selasa.

Selain itu, pihaknya turut merampas kira-kira 200 kilogram hasil tangkapan ikan yang terdapat di dalam pam bot berkenaan.

Beliau berkata, nilai rampasan terbabit dianggarkan mencecah RM8,000 dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 26 (1) (c) Akta Perikanan 1985.

Menurutnya, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

“APMM memandang serius dengan kegiatan menangkap ikan menggunakan peralatan yang tidak sah seperti bom ikan.

“Alat terbabit boleh disalah guna sebagai alat letupan dan jika ia diperolehi oleh orang yang tidak bertanggungjawab, ia akan membawa mudarat yang lebih besar.

“Justeru, kita akan meneruskan siasatan untuk mengenal pasti bagaimana suspek mendapat peralatan berkenaan dan siapa yang menjadi pembekal mereka,” jelasnya.

Pihaknya juga tidak menolak kemungkinan wujudnya pihak yang menjadi dalang kepada kegiatan bom ikan di perairan negeri ini.

Beliau berharap hukuman maksimum akan dikenakan ke atas penjenayah yang didapati bersalah menjalankan aktiviti haram berkenaan.

Turut hadir, Pengarah Maritim Daerah Kota Kinabalu Laksamana Pertama Maritim Adam Aziz.

APMM memandang serius dengan kegiatan menangkap ikan menggunakan peralatan yang tidak sah seperti bom ikan. Alat terbabit boleh disalah guna sebagai alat letupan dan jika ia diperolehi oleh orang yang tidak bertanggungjawab, ia akan membawa mudarat yang lebih besar.

DATUK MOHD ZUBIL MAT SOM Pengarah Maritim Wilayah Sabah dan Labuan

ZUBIL (tengah) menunjukkan alat yang digunakan suspek untuk bom ikan. Turut kelihatan Adam (kiri).

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.