Pembinaan dewan serbaguna bantu kembang potensi murid

Utusan Borneo (Sabah) - - Citra - Oleh NOORASVILLA MUHAMMA

PEMBINAAN

dewan serbaguna di Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Sung Siew membuktikan keprihatinan dan kesungguhan kerajaan yang sentiasa mengambil berat terhadap keperluan dan kehendak rakyat terutama dalam bidang pendidikan.

Ahli Parlimen Batu Sapi Datuk Linda Tsen Thau Lin berkata, dengan adanya dewan itu, secara tidak langsung mampu membantu mengembangkan lagi potensi murid-murid di sekolah berkenaan.

“Saya percaya dewan ini pastinya akan memberi keselesaan dan kemudahan kepada pihak sekolah untuk mengadakan perhimpunan mahupun aktiviti muridmurid.

“Ia juga boleh dimanfaatkan oleh sebagai gelanggang sukan dan riadah seperti sukan bola keranjang. Sememangnya, inilah yang menjadi hasrat kerajaan supaya murid-murid dan generasi belia kita sentiasa aktif, sihat, cergas serta bebas daripada pengaruh dan gejala yang tidak sihat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Hari Anugerah Murid Cemerlang 2017 dan Majlis Perasmian Dewan Serbaguna SRK Sung Siew di sekolah itu.

Sebagai wakil kepada kerajaan yang bertanggungjawab dan sentiasa berikhtiar, Linda berkata akan terus membela nasib rakyat tanpa mengira kaum, kepercayaan dan agama.

Menurut beliau, ia terbukti apabila setiap tahun kerajaan sentiasa menyalurkan peruntukan yang besar untuk institusi serta rumah keagamaan dan juga sekolah persendirian di negeri ini.

Sementara itu, Guru Besar SRK Sung Siew Chinn Shoon Yuen berkata setiap tahun, pihak sekolah mengadakan majlis untuk meraikan kejayaan cemerlang murid-murid dalam bidang kurikulum dan kokurikulum.

Katanya, kejayaan seorang murid tidak hanya terletak pada usaha dan kesungguhan yang dimainkan oleh guru semata-mata, tetapi bergantung pada diri murid itu sendiri untuk sentiasa mempunyai komitmen dan motivasi diri yang tinggi.

Beliau berharap agar kecemerlangan itu akan menjadi pemangkin kepada murid lain supaya dapat mempertingkatkan mutu pencapaian mereka dalam bidang akademik dan juga dalam bidang bukan akademik pada masa hadapan.

Hadir sama, wakil Pejabat Pendidikan Daerah Sandakan Mazlan Mohd Yussof, Pengerusi Lembaga Pengurusan SekolahSekolah Sung Siew Datuk Daniel Chu Vui Fai, wakil Lembaga Pengurusan Sekolah-Sekolah Sung Siew Yap Pak Shun dan Yang Dipertua PIBG SRK Sung Siew Daniel Lo.

LINDA bersama warga SRK Sung Siew di hadapan dewan serbaguna baharu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.