Anugerah Perkhidmatan DBP mampu tingkat semangat kerja

Utusan Borneo (Sabah) - - Pendidikan - Oleh ABD NADDIN HJ SHAIDDIN

ANUGERAH Perkhidmatan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) terbukti mampu menjadi pemangkin untuk meningkatkan semangat warga kerja DBP bagi memberikan perkhidmatan yang terbaik, kata Ketua Pengarah DBP Malaysia Dato Abd Adzis Abas.

“Namun walaupun pencapaian kita adalah memuaskan, usaha perlu dipergiatkan lagi bagi mempertingkatkan mutu perkhidmatan dan produk yang dikeluarkan,” katanya.

Beliau mengajak warga kerja DBP agar terus melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh ikhlas dan bersemangat bagi merealisasikan Pelan Tindakan Strategi DBP.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) DBP Sabah, di Kota Kinabalu.

Menurutnya, secara keseluruhannya, warga DBP memberikan perkhidmatan cemerlang tetapi hanya 8 peratus sahaja yang boleh dipiih untuk menerima anugerah pada setiap tahun.

“Ini bermakna, staf yang tidak menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang bagi tahun 2016 bukannya tidak cemerlang cuma mereka tidak terpilih untuk menepati kuota yang ditetapkan.

“Namun, ingin saya tegaskan di sini bahawa janganlah kita melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan sentiasa mengharapkan ganjaran dan pengiktirafan sahaja.

“Kita seharusnya meletakkan keikhlasan dalam bekerja sebagai batu asas untuk terus menabur bakti demi kecemerlangan organisasi, bangsa dan negara,” katanya.

Sambil mengutip katakata pakar motivasi antarabangsa Larry Bielat, beliau menggesa staf dan kakitangan DBP agar sentiasa berusaha, jangan berpuas hati sehingga yang baik menjadi lebih baik dan yang lebih menjadi paling baik.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengarah DBP Sabah Hajah Asmiah Haji Ajamain.

Sementara itu, lima orang menerima APC 2016 iaitu Tengku Fauziah Ku Mat, Jennitah Noordin, Juliana Kuli, Jaliha Jaman dan Salmiah@Aini Ismail.

Anugerah Perkhidmatan 35 Tahun diterima oleh Zakaria Saidi dan Jaliha Jaman manakala bagi Anugerah Perkhidmatan 30 Tahun diterima Awang Aziz Jaafar dan Salmiah@Aini Ismail.

Tujuh menerima Anugerah Perkhidmatan 25 Tahun ialah Jennitah Noordin, Kasima Salinri, Mualin Suruji, Jaidah Haji Jawab, Hassan Hussin, Raimat Sitang dan Aliamat Abd Goyoh.

Tiga menerima Anugerah 20 Tahun ialah Hajah Norjanah Yusof, Debbie Benjamin dan Logiman@ Juakim Gamad.

PENERIMA APC 2016 bergambar kenangan bersama Asmiah dan Abd Adzis selepas menerima anugerah masing-masing.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.