BN S’wak sudah bersedia hadapi PRU14

Utusan Borneo (Sabah) - - Sarawak -

KUCHING: Barisan Nasional (BN) Sarawak sudah bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang akan diadakan pada bila-bila masa dari sekarang.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata BN Sarawak ketika ini berada pada ‘gear lima’ dan telah mengatur strategi untuk menghadapi PRU14.

“Kita (BN) Sarawak sudah berada pada ‘gear lima’. Kita telahpun mengambil langkah, bahkan dalam bajet (negara) 2018, kerajaan persekutuan memberi peruntukan yang besar kepada Sarawak untuk melaksanakan pembangunanpembangunan di negeri ini.

“Peruntukan ini akan memperkukuhkan lagi pendirian kita iaitu maklamat utama kerajaan Barisan Nasional adalah untuk membawa pembangunan kepada rakyat, meneruskan pembangunan dirancang seterusnya dilaksanakan untuk penduduk luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi iaitu PRU14 akan berlangsung kurang 180 hari lagi dan meminta semua parti komponen BN turun padang serta bergerak di peringkat akar umbi.

Terdahulu beliau mewakili Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg merasmikan Majlis Pelancaran Nama dan Logo Parti Demokratik Progresif (PDP) yang sebelum ini dikenali Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) di sebuah hotel di sini malam kelmarin (Ahad).

Uggah yang juga timbalan presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yakin BN Sarawak akan menang cemerlang berdasarkan prestasi semasa dan serta khimat berorientasikan rakyat diberi wakil-wakil rakyat BN,” katanya.

Semasa merasmikan Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan Ke-46 di Menara PGRM di Kuala Lumpur Ahad lepas, Ahmad Zahid mengingatkan semua parti komponen BN bersiap sedia menghadapi PRU14 bagi memastikan kemenangan besar dicapai.

Pada PRU13 (2013) BN Sarawak terdiri daripada empat komponen parti iaitu PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan PDP (SPDP sebelum ini) memenangi 25 daripada 31 kerusi Parlimen dipertandingkan.

Lima daripada kerusi Parlimen dimenangi Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) memenangi satu kerusi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.